DOHA – Israel melancarkan serangan terhadap kepimpinan Hamas di Qatar, semalam, sekali gus memperluas tindakan ketenteraan rejim itu di seluruh Asia Barat hingga ke negara Teluk yang didakwa mereka menjadi ‘pangkalan politik’ kumpulan berkenaan.
Seorang pegawai Israel mengesahkan kepada Reuters bahawa serangan itu menyasarkan pemimpin Hamas di Qatar.
Stesen televisyen Al Jazeera, yang memetik sumber Hamas melaporkan, serangan terbabit turut mengenai perunding gencatan senjata Gaza.
Saksi melaporkan beberapa letupan kuat kedengaran di ibu kota Doha dengan asap hitam tebal menjulang berhampiran stesen minyak Legtifya.
Di sebelahnya terdapat sebuah kawasan perumahan kecil yang dikawal ketat pasukan pengawal emir Qatar sejak tercetusnya konflik Gaza.
Media Israel melaporkan serangan itu menyasarkan tokoh kanan Hamas termasuk Khalil al-Hayya, ketua Hamas di Gaza yang hidup dalam buangan dan perunding utama gencatan senjata.
Kerajaan Qatar mengecam tindakan Israel itu sebagai ‘pengecut’ serta menyifatkannya sebagai pencabulan terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa.






