PUTRAJAYA – Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) mencatatkan sedikit peningkatan kepada AS$122.7 bilion pada 29 Ogos 2025 berbanding AS$122 bilion pada 15 Ogos lalu.
BNM menerusi satu kenyataan berkata, kedudukan rizab itu memadai untuk membiayai 4.8 bulan import barangan dan perkhidmatan, serta 0.9 kali jumlah hutang luar negeri jangka pendek.
Daripada jumlah keseluruhan, rizab mata wang asing menyumbang AS$109.1 bilion, kedudukan rizab Tabung Kewangan Antarabangsa (AS$1.3 bilion), hak pengeluaran khas atau SDR (AS$5.9 bilion), emas (AS$4.1 bilion) dan aset rizab lain (AS$2.3 bilion).
Jumlah aset dicatatkan sebanyak RM610.68 bilion, meliputi emas, pertukaran asing dan rizab lain termasuk SDR (RM518.67 bilion), kertas kerajaan Malaysia (RM13.62 bilion), deposit dengan institusi kewangan (RM1.86 bilion), pinjaman dan pendahuluan (RM27.62 bilion), tanah dan bangunan (RM4.57 bilion) serta aset lain (RM44.33 bilion).
Jumlah modal dan liabiliti berjumlah RM610.68 bilion, terdiri daripada modal berbayar (RM100 juta), rizab (RM196 bilion), mata wang dalam edaran (RM172.44 bilion), deposit oleh institusi kewangan (RM115.64 bilion), deposit kerajaan persekutuan (RM10.72 bilion), lain-lain deposit (RM75.26 bilion), kertas Bank Negara (RM9.26 bilion), peruntukan SDR (RM27.78 bilion) dan liabiliti lain (RM3.48 bilion).






