
KOTA KINABALU – Seminar Fikrah MADANI Pemikiran Siddiq Fadzil: Membina Jiwa Merdeka menjadi wadah intelektual memperingati sumbangan besar tokoh dakwah dan pemikir Islam terkemuka tanah air, Allahyarham Profesor Datuk Dr. Siddiq Fadzil.
Menurut Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, usaha sebegini sangat penting dalam memupuk budaya ilmu menyuburkan tradisi individual serta memperkasa pemikiran masyarakat kita agar seiring dengan cabaran zaman.
“Nama Almarhum Prof. Datuk Dr. Siddiq Fadzil bukanlah asing dalam peta sejarah inlektual Islam di negara kita.
“Beliau lahir sebagai seorang pemimpin yang matang dalam medan dakwah tampil sebagai seorang ilmuwan yang syarat dengan visi pembaruan dan dikenang sebagai tokoh yang sentiasa mendidik umat dengan penuh hikmah serta kebijaksanaan,” katanya.
Teks ucapan perasmiannya dibaca oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif ketika merasmikan Seminar Fikrah MADANI-Pemikiran Siddiq Fadzil: Membina Jiwa Merdeka, di Dewan Sa’adah, Wisma MUIS, di sini pada Selasa.

Menurut beliau, di bawah kepimpinan Dr. Siddiq Fadzil, ABIM berkembang sebagai wadah perjuangan umat yang menekankan pendidikan, kebajikan masyarakat serta kelestarian nilai Islam.
“Allahyarham juga pernah menerajui WADAH dan diberi amanah sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
“Tidak keterlaluan jika kita katakan Dr. Siddiq Fadzil adalah antara arkitek penting dalam merangka hala tuju pendidikan Islam progresif di Malaysia MADANI yang berpaksikan ilmu, akhlak dan keterbukaan,” ujarnya.
Tambah Hajiji, pendekatan pemikiran Islam progresif yang dibawa Allahyarham, termasuk konsep Manhaj Malizi, sangat relevan dengan masyarakat majmuk Sabah yang kaya kepelbagaian etnik, budaya dan agama.
“Pemikiran beliau menegaskan bahawa Islam harus dipersembahkan dengan wajah yang damai, menghormati kepelbagaian dan membawa rahmat kepada seluruh alam. Inilah semangat yang menjadi teras dalam membina masyarakat MADANI,” katanya.
Justeru, beliau menyeru anak muda Sabah menjadikan pemikiran Siddiq Fadzil sebagai panduan menghadapi cabaran era digital, krisis moral dan ketidaktentuan geopolitik.
“Semangat Dr. Siddiq Fadzil adalah semangat yang menolak ekstremisme, menolak perpecahan dan mengajak kita membina masa depan dengan penuh hikmah,” katanya.







