
KUALA LUMPUR – Audit dalaman bukan sekadar proses rutin yang harus dilakukan setiap jabatan, sebaliknya ia memainkan peranan penting sebagai teras kepada tatakelola yang baik dan pelindung kepada integriti perkhidmatan awam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu merupakan elemen penting terhadap mana-mana sistem pentadbiran negara yang dapat menangani ketirisan, rasuah, isu tadbir urus dan tatakelola yang menjadi cabaran besar dalam sistem pentadbiran.
Beliau yang juga Menteri Kewangan memaklumkan, tatakelola yang baik bukan beban, sebaliknya asas kepercayaan rakyat dan pelaburan jangka panjang kepada kestabilan negara.
“Kerajaan sentiasa fokus memperkukuh institusi-institusi audit antaranya pindaan pertama Akta Audit dalam 33 tahun. Penubuhan Jawatankuasa Ketidakaturan Serius juga adalah bukti nyata bahawa kita serius menangani pelanggaran tatakelola secara tuntas.
“Seperti mana Datuk Seri Suraya (Ketua Audit Negara) tahu, saya berikan ruang seluas mungkin supaya jentera kerajaan diawasi dan dipantau lebih dekat dan ini harus mendapat kerjasama sepenuhnya dengan Bursa Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan pelancaran Persidangan Konfederasi Asia Institut Juruaudit Dalaman (ACIIA) 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), pada Selasa yang turut dihadiri Ketua Audit Negara, Datuk Seri Suraya Wan Mohd Radzi.
Mengulas lanjut Anwar berkata, sejarah seperti skandal 1MDB dan krisis kewangan Asia mengajar kerajaan akan kepentingan untuk memberi ruang dan sokongan kepada juruaudit dalaman, bagi membolehkan mereka menjalankan tugas tanpa gangguan.
“Seperti yang kita alami dalam banyak skandal kewangan sebelum ini termasuk skandal 1MDB, ia tidak mungkin berlaku tanpa penglibatan juruaudit, juruaudit dalaman dan institusi kewangan antarabangsa.
“Kita mesti mengambilnya sebagai cabaran untuk menyelamatkan masyarakat serta negara daripada penyelewengan ini. Maka kita harus memahami maksud sebenar sistem semak dan imbang; keperluan untuk bertindak dengan penuh ketelusan, akauntabiliti dan amanah.
“Inilah asas yang membolehkan institusi bertahan, khususnya apabila diuji,” katanya
Dalam pada itu, Anwar menzahirkan penghargaan kepada pihak yang berani dan tegas membersihkan kerajaan serta syarikat daripada kebiasaan melanggar peraturan, selain sikap itu harus dijadikan teras dalam memastikan aktiviti ketirisan serta rasuah tidak terus berakar kepada masyarakat.
“Saya ucap terima kasih dan penghargaan kepada rakan-rakan kerana mereka tunjukkan sikap dan keberanian dan ketegasan membersihkan jentera sama ada kerajaan atau syarikat-syarikat kerajaan dan swasta daripada kebiasaan melanggar peraturan ini,” katanya.
Mengulas usaha pembaharuan institusi, Perdana Menteri menegaskan, langkah mengukuhkan Jabatan Audit Negara adalah kritikal walaupun tidak popular.
Katanya, kerajaan telah memperkukuh mandat Jabatan Audit Negara melalui pindaan pertama Akta Audit dalam tempoh 33 tahun, bagi memastikan dana awam dilindungi serta pesalah dibawa ke muka pengadilan.
“Melalui pindaan pertama Akta Audit dalam tempoh 33 tahun, ia mungkin bukan reformasi yang glamor, tetapi ia adalah pembaharuan penting.
“Sejak 2024, audit susulan berjaya memulihkan serta melindungi dana berjumlah RM159 juta,” katanya.
Menurut Anwar, empat garis panduan audit baharu turut dilancarkan awal tahun ini, yang mewajibkan mana-mana entiti penerima dana awam mematuhi prinsip pengurusan wang rakyat.
“Syarikat berkaitan kerajaan, yayasan, apa sahaja sebaik menerima dana awam, mereka mesti mematuhi prinsip pengurusan wang rakyat. Langkah ini akan membantu membendung ketirisan dan rasuah,” katanya.






