
KUALA LUMPUR – Malaysia ketika ini berada di barisan hadapan dalam usaha melaksana pemodenan audit, sekali gus muncul sebagai rujukan serantau bagi memperkukuh ketelusan dan akauntabiliti.
Ketua Audit Negara, Wan Suraya Wan Mohd Radzi menegaskan, profesion audit mesti bangkit menghadapi cabaran era ketidakpastian atau ‘polycrisis’ (krisis besar berlaku serentak atau bertindih) dengan peranan lebih luas dan bukannya sekadar mengawasi.
Berucap di hadapan lebih 15,000 juruaudit dalaman dari 26 negara pada Persidangan Konfederasi Juruaudit Dalaman Asia 2025 (ACIIA) 2025, beliau berkata, Jabatan Audit Negara kini mengorak langkah kepada jangkaan risiko dan pencegahan awal.
“Peranan kita sebagai juruaudit bukan sahaja untuk menilai masa lalu, tetapi membentuk masa depan, memperkukuh kepercayaan, melindungi sumber awam dan membina institusi yang berdaya tahan.
“Juruaudit mesti menjadi arkitek daya tahan yang mampu mengesan ketidakaturan sejak peringkat awal serta mendorong penambahbaikan berterusan,” katanya di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), pada Selasa.
Mengulas lanjut, Wan Suraya berkata, Malaysia juga kini mengetuai Kumpulan Kerja ASEAN mengenai Audit Susulan yang mana ia inisiatif pertama di rantau ini, serta menonjolkan negara sebagai peneraju inovasi audit serantau dan penyumbang penting kepada komuniti audit global.
“Akauntabiliti tidak boleh dilihat sebagai beban pematuhan, sebaliknya mesti dijadikan budaya kerja. Ukuran kejayaan sebenar ialah pengurangan berterusan kelemahan berulang dalam pengurusan kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan.
“Dengan memanfaatkan teknologi, membudayakan tadbir urus serta memperkukuh kerjasama serantau, Malaysia membuktikan audit mampu menjadi pemacu kepercayaan dan ketahanan dalam dunia yang penuh ketidakpastian,” katanya.
Sementara itu, Wan Suraya memaklumkan, inovasi digital menjadi tonggak pembaharuan audit negara melalui pelaksanaan E-Self Audit Tools, Mekanisme Ketidakaturan Serius, papan pemuka audit.
Katanya, insiatif tersebut disifat memiliki kemampuan untuk pemantauan masa nyata serta penggunaan analitik Kecerdasan Buatan (AI) dan Big Data bagi meningkatkan ketepatan dan keberkesanan.
“Pindaan Akta Audit 2024 memperluaskan mandat Ketua Audit Negara supaya penemuan audit tidak hanya dilaporkan, tetapi diterjemahkan kepada tindakan pembetulan.
“Audit susulan serta Petunjuk Prestasi Utama (KPI) terukur dan pelaporan sistematik kepada Parlimen kini menjadi budaya baharu dalam tadbir urus negara,” katanya.






