PUTRAJAYA – Pelakon Angeline Tan, 58, menyifatkan Anugerah Maulidur Rasul Kategori Saudara Baru Cemerlang (Mualaf) diterimanya sebagai pembangkit semangat untuk terus melakukan kebaikan selain menyebarkan ajaran Islam.
Beliau berkata, anugerah itu bukan untuk dirinya semata-mata, bahkan ditujukan kepada suami, Sabri Yunus serta seisi keluarganya.
“Tanpa suami, saya tidak akan dapat menikmati Islam. Sejak saya masuk Islam, saya tekad nak sebarkan erti Islam yang betul kepada bukan Islam.
“Ini supaya semua faham maksud sebenar Islam dan jangan salah faham.
“Bila mereka tidak salah faham, negara akan aman damai. Mungkin satu hari nanti mereka akan jadi seperti saya.
“Anugerah ini berikan saya semangat, satu perjalanan panjang dalam misi pertama saya.
“Saya berharap Allah berikan peluang untuk membuat perkara-perkara yang saya nak buat,” katanya dipetik dari Kosmo.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan menyampaikan hadiah wang tunai RM30,000, trofi dan sijil penghargaan kepada Angeline atau nama Islamnya Ardini Angeline Tan pada majlis yang berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia, Serdang, hari ini.
Antara sumbangan Angeline ialah melalui program dakwah “Angeline Tanya Abang Jawab” di sebuah syarikat televisyen swasta bagi membantu golongan mualaf memahami asas Islam dengan pendekatan santai dan mudah difahami.




