
KUALA LUMPUR – Sebarang tindakan terhadap filem atau karya yang didakwa memaparkan unsur keganasan dan buli perlu dibuat berdasarkan alasan kukuh serta penelitian sewajarnya, bukannya secara terburu-buru.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, kerajaan tidak akan mengambil tindakan secara melulu, sebaliknya memberi ruang kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) melengkapkan siasatan berhubung kes berkaitan terlebih dahulu.

Menurutnya, Kementerian Komunikasi akan meneliti perkara itu sekiranya terdapat aspek kandungan yang memerlukan perhatian kementerian selepas siasatan polis selesai.
“Biarlah pihak PDRM melakukan siasatan dan setelah ia lengkap dan sekiranya ada apa-apa aspek yang perlu penelitian oleh Kementerian Komunikasi, kita akan ambil dari situ,” katanya pada Khamis.
Terdahulu, Kementerian Komunikasi dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat semalam memaklumkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang menjalankan kajian mengenai keperluan kawal selia kandungan drama di platform penstriman digital atau Over-The-Top (OTT).

