
KOTA KINABALU – Sebuah lori jenis ‘dumper tipper’ disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selepas didapati dipandu warga asing yang tidak memiliki lesen memandu kompeten (CDL) dan lesen vokasional dalam Ops Rentas Sempadan yang dilaksanakan bersama JPJ Sarawak.
Pengarah JPJ Negeri Sabah, Datuk Mohd Harris Ali berkata, kesalahan itu dikesan ketika pemeriksaan sepanjang operasi penguatkuasaan selama dua hari bermula kemarin.
“Operasi berkenaan turut memberi tumpuan kepada pematuhan syarat permit, penyelenggaraan kenderaan serta memastikan pemandu memiliki lesen yang diperlukan.
“Pengusaha kenderaan perdagangan perlu memastikan pemandu mereka mempunyai kelayakan dan kompetensi sebelum dibenarkan mengendalikan kenderaan membawa muatan berat.
“Kita menyeru supaya syarikat-syarikat pengusaha kenderaan barangan perdagangan memastikan pemandu mereka adalah pemandu yang kompeten, yang mempunyai lesen, kompetensi dan juga kesihatan yang sepatutnya,” katanya semasa sidang media selepas meninjau Ops Rentas Sempadan JPJ Sabah bersama JPJ Sarawak di sini, pada Sabtu.
Jelasnya, aspek keselamatan pemandu perlu diberikan perhatian bagi mengelakkan kejadian tidak diingini ketika mengendalikan kenderaan berat.
“Kita tidak mahu dalam kita membawa beban berat ini, pemandu menjadi punca kepada kemalangan yang kita harap tidak berlaku,” kongsinya.
Tambahnya, Ops Rentas Sempadan merupakan sebahagian daripada pendekatan penguatkuasaan strategik yang menghubungkan Sabah dan Sarawak serta akan diteruskan pada masa akan datang.
Sementara itu, Pengarah JPJ Sarawak, Norizan Jili berkata, operasi berkenaan bukan sahaja bertujuan memastikan keselamatan pengguna jalan raya, malah menjadi platform mengeratkan hubungan kerjasama antara kedua-dua negeri.
“Walaupun berbeza negeri, tapi kita satu Borneo. Saya harap perkara ini kita dapat teruskan dari tahun ke tahun,” ujarnya.



