
PUSA – Seramai 177 nelayan terpilih di kawasan Parlimen Batang Lupar menerima bantuan input nelayan berupa pukat hanyut dengan peruntukan keseluruhan RM355,000.
Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli berkata, setiap penerima menerima bantuan bernilai kira-kira RM2,000 bagi meningkatkan keupayaan dan produktiviti aktiviti perikanan masing-masing.
Menurutnya, bantuan yang disalurkan menerusi Jabatan Pertanian Sarawak, Bahagian Betong itu merupakan usaha kerajaan membantu meningkatkan pendapatan serta taraf ekonomi komuniti nelayan.
“Diharapkan bantuan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya bagi meningkatkan hasil tangkapan dan pendapatan keluarga nelayan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bantuan Input Nelayan di Dewan Rahmaniah Pusa, pada Sabtu.

Beliau berkata, penyaluran bantuan kepada golongan nelayan akan diteruskan dan diperluaskan ke seluruh kawasan Batang Lupar bagi memastikan lebih ramai penduduk mendapat manfaat.
Dalam pada itu, Shafizan turut menghargai komitmen Kerajaan Sarawak menyediakan pelbagai kemudahan infrastruktur, termasuk pembinaan 22 jambatan di seluruh negeri.
Katanya, pembangunan Jambatan Batang Lupar mampu meningkatkan hubungan perhubungan penduduk luar bandar, memudahkan pergerakan serta merancakkan ekonomi setempat.
Beliau turut menyeru masyarakat supaya memanfaatkan kemudahan yang disediakan kerajaan dan terus menyokong kepimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi memastikan agenda pembangunan negeri dapat diteruskan.
Hadir sama Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Beting Maro, Datuk Razaili Gapor; Pegawai Pertanian Bahagian Betong, Leo Toni; Pegawai LKIM Wilayah 4, Nurhaizawati Samsimon serta wakil Pegawai Daerah Pusa, Anthony Peter Mihe Noel.



