
KONSERT kumpulan rock antarabangsa, My Chemical Romance (MCR) di Stadium Nasional, Bukit Jalil antara acara muzik antarabangsa yang menerima sokongan menerusi insentif Concerts and Events in Malaysia Incentive (CEMI).
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, pelaksanaan CEMI membantu memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan bagi penganjuran konsert dan acara berskala besar bertaraf antarabangsa.
Beliau berkata, kehadiran kumpulan tempatan, Pop Shuvit sebagai artis pembuka tirai konsert MCR memberi ruang kepada mereka memperluas pendedahan dan mengembangkan potensi dalam industri muzik.
“Yang penting, bakat tempatan juga diberi peluang. Kehadiran Pop Shuvit sebagai artis pembuka tirai memberi ruang untuk mereka beraksi di pentas yang lebih besar,” katanya.
Fahmi berkata, penganjuran konsert berskala besar turut memberi impak ekonomi kepada pelbagai sektor, termasuk industri kreatif, perhotelan, pengangkutan, makanan dan pelancongan.
Menurutnya, manfaat daripada acara antarabangsa seperti itu dapat dirasai bukan sahaja oleh pemain industri hiburan, malah turut merancakkan aktiviti ekonomi negara.
“Inilah yang kita harapkan daripada penganjuran acara berskala besar. Industri kreatif dan ekonomi jingga terus berkembang, sementara lebih ramai pemain tempatan turut mendapat peluang,” katanya.
Beliau berkata, usaha berterusan menarik penganjuran acara antarabangsa ke Malaysia penting bagi memastikan industri kreatif negara terus berkembang, selain meningkatkan peluang kepada penggiat tempatan untuk terlibat dalam acara bertaraf dunia.



