KUANTAN – Seramai 1,200 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dari kawasan Semambu menerima insentif daripada kerajaan Pahang menerusi Inisiatif Makmur Pahang (IM Pahang).
Penyampaian insentif itu dilakukan ADUN Semambu, Chan Chun Kuang dalam satu majlis di sini, semalam.
Chun Kuang berkata, menerusi IM Pahang, setiap pelajar IPT menerima sumbangan daripada kerajaan negeri berjumlah RM400.
“Bantuan ini bertujuan membantu meringankan beban kewangan pelajar dan keluarga mereka, sekali gus menunjukkan komitmen kerajaan Pahang dalam menjaga kebajikan rakyat,” katanya.
Turut hadir dalam majlis itu Ketua Wanita PKR Indera Mahkota, Farahida Fauzi.
Sementara itu, Chun Kuang menjelaskan bantuan itu membuktikan pentadbiran cekap dan berkesan sangat penting bagi kerajaan menyalurkan semula hasil negara kepada rakyat.
“Melalui usaha ini, kita dapat melihat impak positif diberikan secara langsung kepada masyarakat, khususnya kepada para pelajar yang sedang menghadapi cabaran dalam dunia akademik.
“Selain bantuan di peringkat negeri, kerajaan Persekutuan juga turut menyediakan pelbagai inisiatif lain.
“Sebagai contoh, bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100 yang disalurkan kepada setiap warganegara melalui kad pengenalan untuk pembelian barang keperluan harian,” katanya.






