
BATU DANAU – Timbalan Premier Sarawak, Datuk Awang Tengah Ali Hasan menyatakan sokongan terhadap cadangan menaik taraf Tapak Pesta Babulang dan Lumba Kerbau di Batu Danau dengan peruntukan sebanyak RM32 juta.
Menurut beliau, cadangan pembangunan tersebut merangkumi pembinaan Waterfront Batu Danau, penaiktarafan Dewan Pusat Kebudayaan Bisaya serta penyediaan pelbagai infrastruktur sokongan seperti pentas utama, gerai tetap, tandas awam moden dan kawasan parkir.
“Projek pembangunan ini dicadang untuk dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dengan kerjasama Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) serta Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak,” katanya ketika berucap merasmikan Pesta Babulang dan Lumba Kerbau 2025 di Batu Danau, pada Sabtu.
Tambahnya, pembangunan kemudahan ini akan memberikan nilai tambah kepada penganjuran pesta budaya tersebut, selain menyumbang kepada kemajuan sosioekonomi masyarakat setempat dan menarik lebih ramai pelancong ke kawasan itu.

Jelasnya lagi, usaha memperkasakan pesta budaya seperti ini turut selaras dengan matlamat Pelan Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), khususnya dalam menjadikan pelancongan budaya sebagai salah satu pemacu ekonomi baharu negeri Sarawak.
Sehubungan itu, beliau menggesa penganjur agar turut memanfaatkan teknologi digital dalam penganjuran acara, termasuk melalui siaran langsung, promosi dalam talian dan sistem transaksi tanpa tunai bagi meningkatkan daya tarikan serta kemudahan kepada pengunjung.
Foto: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)




