
KERAJAAN menzahirkan rasa bangga terhadap pencapaian cemerlang MARESMAF Wind Orkestra (MAWO) dari Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Ulul Albab, FELDA Trolak yang berjaya meraih Anugerah Emas ‘Golden Diploma Award’ di Republik Czech, baru-baru ini.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, kerajaan akan meneliti langkah-langkah yang bersesuaian bagi memastikan kumpulan orkestra tersebut terus diberi peluang dan sokongan dalam usaha mengembangkan bakat ke peringkat yang lebih tinggi.
“Apa yang menjadikan pencapaian ini cukup unik, kebanyakan pelajar daripada FELDA Trolak ini pada awalnya tidak memiliki kemahiran dalam bermain alat muzik yang dipersembahkan.
“Namun dalam tempoh yang singkat, dengan bimbingan daripada RTM, mereka bukan sahaja mampu tampil yakin semasa membuat persembahan di Auditorium Media City, Angkasapuri, baru-baru ini bahkan mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media mingguan yang berlangsung di Putrajaya, hari ini.
MAWO telah mengetepikan tujuh kumpulan orkestra lain dari enam buah negara dan muncul sebagai kumpulan terbaik dalam kategori yang dipertandingkan selepas memperoleh markah tertinggi daripada panel juri profesional.
“Kejayaan ini lebih membanggakan apabila MAWO turut mencatat markah tertinggi berdasarkan mutu persembahan, kecekapan teknikal serta komposisi muzik bertaraf antarabangsa,” katanya.
Festival Antarabangsa Orkestra Tiupan 2025 yang berlangsung pada 20 dan 21 Jun lepas menyaksikan penyertaan 13 kumpulan orkestra dari 11 negara, dengan Malaysia menjadi negara tunggal mewakili benua Asia.






