
KANGAR – Penyalahgunaan sembilan kad fleet bagi pembelian minyak diesel disyaki mempunyai kaitan dengan kegiatan penyelewengan bahan api itu yang terbongkar selepas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perlis menyerbu dua lokasi di negeri ini, semalam.
Kegiatan itu terbongkar susulan serbuan di sebuah kuari di Sungai Batu Pahat dekat sini yang membawa kepada rampasan 11,000 liter diesel, sebelum pemeriksaan lanjut dijalankan di sebuah stesen minyak di Beseri.
Pengarah KPDN Perlis, Rohaida Hassan berkata, sembilan kad fleet berkenaan disita di stesen minyak terbabit kerana dipercayai disalahgunakan untuk pembelian diesel.
“Pihak kami turut menyita sebuah kamera litar tertutup (CCTV) dan beberapa dokumen di stesen minyak berkenaan bagi membantu siasatan,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, serbuan menerusi Ops Tiris 4.0 itu dijalankan oleh 13 anggota penguat kuasa bermula pukul 3 petang hingga 11.30 malam hasil risikan selama seminggu.
Katanya, ketika operasi di kawasan kuari dijalankan, pasukan penguat kuasa mengesan sebuah lori yang cuba meninggalkan lokasi berkenaan sebelum pemeriksaan lanjut menemukan dua tangki penyimpanan diesel.
“Pemeriksaan lanjut di lokasi berkenaan telah menemui dua unit tangki skid tank yang disyaki berisi minyak diesel berjumlah 11,000 liter, selain dua unit pam dan hos,” katanya.
Rohaida berkata, seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an turut ditahan bagi membantu siasatan berhubung kegiatan berkenaan.
Menurutnya, nilai diesel yang dirampas dianggarkan RM61,440, manakala keseluruhan sitaan membabitkan kedua-dua lokasi berjumlah RM78,240.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan denda maksimum RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi individu yang disabitkan kesalahan pertama.
“KPDN serius dalam membanteras isu penyelewengan barang kawalan bersubsidi seperti minyak diesel yang diberikan oleh kerajaan,” katanya.


