Armizan Mohd Ali
KUALA LUMPUR – Kerajaan memperuntukkan anggaran RM15 juta sebulan menerusi Mekanisme Kawalan Harga Minyak Masak bagi memastikan kestabilan harga dan bekalan minyak masak sawit tulen dalam kemasan botol.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, mekanisme itu membolehkan kerajaan mengekalkan harga siling minyak masak botol masing-masing RM6.90 bagi satu kilogram (kg), RM13.30 (2kg), RM19.60 (3kg) dan RM30.90 (5kg).
Menurutnya, mekanisme itu diluluskan menerusi Mesyuarat Jemaah Menteri pada 6 November lalu susulan syor Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), dan dilaksanakan melalui peraturan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
“Keputusan ini dibuat setelah mempertimbangkan trend peningkatan harga Minyak Sawit Mentah (CPO) dunia sejak Jun 2025 yang dijangka kekal berterusan sehingga memberikan tekanan kos yang semakin tinggi kepada industri pengilangan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, berdasarkan harga purata CPO dunia pada Oktober 2026 sebanyak RM4,400 satu tan, harga minyak masak botol 5kg dianggarkan meningkat kepada RM34 sekiranya intervensi tidak dilaksanakan.
Peruntukan RM15 juta sebulan itu digunakan dalam bentuk insentif khas bagi pembekalan minyak masak kemasan botol yang mematuhi harga siling ditetapkan.
Dalam perkembangan berkaitan, Armizan berkata, kerajaan mengambil perhatian serius kesukaran sebahagian pengusaha restoran mendapatkan pekerja sehingga memohon kelulusan penggajian pekerja asing.
Susulan keputusan Jemaah Menteri pada Ogos 2026, Kementerian Sumber Manusia sedang memproses permohonan berdasarkan siling kuota 15,000 pekerja asing yang diumumkan 5 Ogos lalu, tertakluk kepada pematuhan syarat dan kriteria kelayakan.
Bagaimanapun, kerajaan akan terus melaksanakan pendekatan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing secara berperingkat, selaras dengan agenda reformasi pasaran buruh di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 yang menyasarkan pengurangan peratusan pekerja asing kepada 10 peratus daripada keseluruhan tenaga kerja negara menjelang 2030.
“Sebagai kementerian kawal selia bagi subsektor restoran, KPDN menyeru semua pemegang taruh memperkukuh kerangka strategi dan pendekatan untuk mencapai sasaran tersebut,” katanya.


