
KOTA KINABALU – Perjuangan model politik Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bukan bertujuan menolak kerjasama dengan parti nasional sebaliknya menuntut agar parti lokal diberi peranan sebagai teras kepada Kerajaan Negeri Sabah.
Menurut Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali, pendekatan ini penting untuk memastikan hubungan antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan bersifat antara kerajaan (inter-governmental) dan bukan berdasarkan kepentingan dalaman parti (intra-party).
“Ini bagi mengelakkan sebarang agenda negeri dirunding secara tertutup dalam ruang parti nasional semata-mata yang boleh menyebabkan kepentingan negeri diketepikan.
“Sekiranya parti nasional menjadi teras kedua-dua peringkat kerajaan wujud kecenderungan isu negeri dirunding dalam ruang dalaman parti dahulu dan bukan melalui saluran rasmi antara dua kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas merasmikan Persidangan Parti Gagasan Rakyat Sabah Bahagian Darau 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini pada Ahad.
Armizan menjelaskan bahawa jika agenda negeri ditentukan dalam parti, kepentingan parti boleh mengatasi kepentingan negeri.
“Ada masanya isu negeri diketepikan kerana parti nasional lebih mengutamakan kepentingan persekutuan.
“Sebagai contoh isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang berlarutan selama puluhan tahun,” kata beliau
Tambahnya, meskipun pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menunjukkan perkembangan positif, GRS tetap menegaskan pentingnya mewujudkan satu struktur tetap agar perlindungan hak-hak negeri tidak bergantung kepada pendirian peribadi mana-mana pemimpin.
“Kita perlukan struktur tetap yang menjamin hubungan antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan.
“Kita tetap menyokong kepentingan nasional, namun biarlah Kerajaan Persekutuan menerajuinya, manakala Kerajaan Negeri harus menjadikan agenda negeri sebagai keutamaan.
“Inilah makna falsafah ‘Sabah First’ yang menjadi teras utama perjuangan GRS yang bermaksud agenda negeri mesti diberi keutamaan,” katanya.
Armizan turut menekankan bahawa GRS berhasrat menjadi tunjang kepada kerajaan negeri dan pilihan raya akan datang merupakan medium bagi rakyat menentukan kepimpinan negeri.
“Kita mengalu-alukan kerjasama dengan parti-parti nasional, asalkan mereka mengiktiraf bahawa parti tempatan harus menjadi tunjang dan bertanding lebih banyak kerusi.
“Biar parti nasional memimpin di peringkat persekutuan, manakala kami memimpin di peringkat negeri.
“Model ini telah menunjukkan keberkesanan melalui kerjasama yang sedang berjalan dalam Kerajaan GRS-PH Plus pada masa ini.
“GRS akan terus bekerjasama dengan parti nasional kerana kita juga merupakan sebahagian daripada gabungan yang membentuk kerajaan persekutuan dan menyokong Perdana Menteri daripada kalangan mereka,” ujarnya.





