
KOTA KINABALU – Budaya dominasi tidak seharusnya wujud dalam kerjasama politik, sebaliknya hubungan yang harmoni dan saling menghormati antara parti-parti merupakan kunci kepada kestabilan politik negeri.
Setiausaha Agung Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Mohamed Razali Mohamed Razi berkata, budaya politik inklusif perlu dikekalkan bagi memastikan kestabilan dan kemajuan berterusan di negeri Sabah.
“Kita tidak letakkan kepentingan peribadi di depan kerana budaya Gagasan bukan mahu menjadi ‘abang besar’, tetapi kita mahu semua komponen GRS bergerak bersama secara saling hormat dan sepakat. Kita belajar daripada kesilapan lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Perasmian Persidangan Gagasan Rakyat Darau oleh Timbalan Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini pada Ahad.
Mengulas mengenai pencalonannya sebagai calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Darau dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, Razali menyifatkannya sebagai aspirasi akar umbi Gagasan Rakyat Darau, namun menegaskan ia belum dimuktamadkan secara menyeluruh.
“Pencalonan itu datang daripada bahagian Darau sahaja. Kita mesti mendengar pandangan rakan-rakan dalam gabungan.
“Apa yang lebih utama adalah kestabilan politik,” ujarnya.
Razali yang juga Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Darau turut menyatakan bahawa beliau bersedia menerima sebarang keputusan pucuk pimpinan, termasuk jika calon Ketua Menteri bukan daripada partinya.
“Kalau Presiden parti memutuskan calon bukan dari Gagasan Rakyat, saya terima dengan hati terbuka. Namun, secara peribadi saya tetap mahu melihat Presiden saya menjadi Ketua Menteri Sabah,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut membidas pihak yang cuba mempolitikkan slogan ‘Sabah Maju Jaya’ (SMJ), yang menurutnya merupakan dasar rasmi kerajaan sejak awal pentadbiran GRS.
“SMJ bukan sekadar slogan politik. Ia adalah hala tuju pembangunan negeri yang telah didokumen dan diguna pakai secara rasmi. Ini bukan sembang kosong di kedai kopi.
Razali turut menyindir pentadbiran lalu yang tiada hala tuju negeri, berbeza dengan pendekatan GRS yang lebih tersusun dan berpandukan dasar.





