IPOH – Bunyi letupan disusuli gegaran yang dirasai di beberapa kawasan sekitar Ipoh pada pagi Rabu disahkan tidak berpunca daripada sebarang aktiviti kuari mahupun latihan letupan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, pihaknya telah menerima laporan kejadian itu yang berlaku sekitar jam 10.30 pagi.
“Siasatan menyeluruh sedang dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh dengan kerjasama pelbagai agensi bagi mengenal pasti punca sebenar.
“Jabatan Meteorologi Malaysia juga mengesahkan tiada aktiviti seismik direkodkan di kawasan berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, beberapa pasukan petugas telah digerakkan ke lokasi terlibat bagi pemantauan dan pengumpulan maklumat awal daripada orang awam.
“Setakat ini, tiada laporan kecederaan atau kerosakan harta benda diterima,” tambahnya.
Terdahulu, hangat diperkatakan di media sosial berkaitan bunyi letupan disusuli gegaran yang didakwa dirasai di beberapa kawasan sekitar Ipoh.
Pada 21 Oktober tahun lalu juga, satu gegaran kuat dirasai di beberapa kawasan di sekitar bandar raya Ipoh termasuk di Tasek, Meru, Falim, Manjoi, Chemor dan Sungai Siput jam 11.06 pagi yang disusuli dengan bunyi dentuman kuat.
Bunyi letupan serta gegaran itu sehingga kini masih dikategorikan sebagai misteri, selain polis masih melakukan siasatan terperinci berhubung insiden itu.
Sehubungan itu, Abang Zainal Abidin menasihati orang ramai agar bertenang dan tidak menyebarkan spekulasi tidak sahih, terutamanya melalui media sosial, bagi mengelakkan kekeliruan serta kegusaran awam.
Orang awam yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pusat Kawalan Daerah (DCC) Ipoh di talian 05-254 2222 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.




