KUANTAN – Bekas pemain hoki remaja kebangsaan, Mohamad Asmawi Zaidi yang dikatakan tidak siuman kini ditempatkan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), dekat sini, untuk tujuan rawatan.
Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang, Khairul Amri Ahmad berkata, selepas beberapa hari mengesan lelaki itu, polis berjaya menemui Mohamad Asmawi di sekitar Taman Kerang, Jalan Mahkota.
Katanya, polis menyerahkan bekas pemain hoki remaja kebangsaan itu kepada HTAA untuk rawatan serta tindakan selanjutnya bagi memastikan keadaanya lebih terurus.
“JKM akan terus memantau perkembangan Mohamad Asmawi yang akan menerima rawatan, diharapkan ada sinar buat dia selepas menerima rawatan yang disediakan pihak HTAA.
“Kita akan berusaha untuk mendapatkan maklumat dari HTAA membabitkan keluarga lelaki terbabit sebelum tindakan selanjutnya diputuskan,” katanya.
Sebelum ini tular beberapa rakaman video di aplikasi Tik Tok seorang lelaki marayau dan meracau dengan berkaki ayam seperti orang kurang siuman.
Individu berkenaan adalah Mohamad Asmawi yang pernah membawa cabaran pasukan kebangsaan di pentas antarabangsa hingga ke Jerman, India dan Pakistan.
Lelaki berusia 36 tahun itu, meninggalkan kerjaya sebagai pemain hoki dan memilih untuk pulang ke kampung di Kemaman, Terengganu ketika usianya sekitar 25 tahun.







