
TIJJANI Reijnders meledak hatrik pada babak pertama ketika Belanda membelasah Greece 7-0 dalam aksi Liga Negara-Negara, awal pagi tadi.
Belanda mendahului 5-0 pada separuh masa pertama menerusi jaringan Crysencio Summerville seawal minit keenam, hatrik Reijnders dan gol Jurrien Timber.
Timber menambah gol kedua peribadinya selepas sejam permainan, sebelum Donyell Malen melengkapkan kemenangan besar itu.
Kemenangan itu menyaksikan Belanda terus mengungguli Kumpulan A2 dengan 11 mata.
Dalam aksi lain, Jerman menewaskan Serbia 3-1 hasil jaringan sendiri lawan, gol Florian Wirtz dan Brajan Gruda yang membuat penampilan sulung.
Keputusan itu menyaksikan Jerman berkongsi lapan mata bersama Greece.
Belanda, Jerman dan Greece kini bersaing merebut dua slot suku akhir menjelang aksi terakhir, Selasa ini.
Jerman akan menerima kunjungan Belanda di Berlin, manakala Greece melayan kunjungan Serbia yang tewas dalam semua lima perlawanan.



