
KERAJAAN disarankan agar mempertimbangkan cuti haid kepada pekerja wanita kerana ia melibatkan kesejahteraan dan memberikan implikasi kepada produktiviti negara.
Pengerusi badan bukan kerajaan (NGO) Pertubuhan Kebajikan Bidadari Malaysia, Napsiah Khamis Maharan berkata, bersempena dengan Hari Pekerja 2025 ini, insentif yang lebih menarik wajar disegerakan bagi menghargai sumbangan wanita sebagai tulang belakang negara.
“Begitu juga soal kebajikan tenaga kerja wanita perlu diberikan keutamaan dan salah satunya kerajaan sangat perlu memberikan ‘menstrual leave’ kepada pekerja wanita.
“‘Menstrual Leave’ ini di praktiskan banyak negara termasuk negara-negara maju sebagai sebahagian inisiatif menjaga kebajikan tenaga kerja wanita. Sudah sampai masanya Malaysia menggubal dasar yang sama,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Mengulas lanjut, Napsiah berkata, perkara ini diyakini apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Julai 2023 berkata, kadar penyertaan wanita dalam tenaga buruh diharap mencapai 60 peratus.
“Saya meyakini harapan Perdana Menteri yang mahu melihat ketidakseimbangan tenaga buruh wanita sepertimana diungkapkan oleh beliau pada 27 Julai 2023 dikecilkan dengan ‘target’ peningkatan tenaga buruh wanita kepada 60 peratus dalam tempoh sedekad akan dapat dicapai dengan penyertaan semua pihak, swasta dan kerajaan sekiranya dilaksanakan dengan efisien dan sistematiks tanpa mengenepikan nilai ihsan yang menjadi tunggak.
“Kepada kaum pekerja sesungguhnya kami semua dan negara terhutang budi kepada anda,” katanya.
Bertemakan ‘Pekerja Kesuma Bangsa’, sambutan Hari Pekerja tahun ini menzahirkan pengiktirafan terhadap peranan penting pekerja sebagai tulang belakang negara serta pelaksana utama aspirasi kemampanan, keadilan dan kesejahteraan.






