‘Bersikap matanglah Hadi, jangan tutup kegagalan PN di Ayer Kuning dengan fitnah UMNO’

PUTRAJAYA – Tindakan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang ketika ini bukan sahaja bersikap emosi dalam menyindir UMNO sebagai lawan politik, malah sanggup memperdagangkan fitnah dan sentimen kebencian demi menutup kegagalan pembangkang di Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii berkata,
tuduhan UMNO kini ‘mempersuci DAP’ adalah naratif bukan sahaja tidak berasas, bahkan sangat ironi datang daripada seseorang yang pernah menjadi sahabat karib kepada DAP suatu ketika dahulu.

Menurut beliau, Pas bukan sahaja menyokong calon-calon DAP di kawasan majoriti Melayu, bahkan ‘menghalalkan’ penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam.

“Sejarah tidak mudah dipadam, malah masih segar dalam ingatan rakyat bagaimana Pas ketika berada dalam Pakatan Rakyat. Tindakan Pas itu semata-mata untuk menjaga hati sekutunya ketika itu.

“Malah, ada ketikanya Pas mengeluarkan arahan kepada ahli-ahli mereka mengundi DAP, atas nama tahaluf siyasi,” katanya menerusi kenyataan kepada The Malaysia Press (TMP), pada Jumaat.

Sebelum ini, Abdul Hadi mendakwa gabungan antara Umno dan DAP ‘mensucikan’ DAP yang didakwanya anti-Islam susulan kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, minggu lalu.

Menerusi artikel Minda Presiden Pas, Abdul Hadi mendakwa kemenangan calon BN, Dr Mohamad Yusri Bakir sebagai kejayaan UMNO menubuhkan UMDAP, gelaran yang diberikan kepada kedua-dua parti terbabit.

Mengulas lanjut, Mohd Razlan berkata, UMNO pula mengambil pendekatan berbeza apabila parti terbabit konsisten mempertahankan isu-isu berkaitan agama Islam, termasuk dalam kes stoking kalimah Allah dan cadangan menjadikan Kampung Baru Cina sebagai tapak warisan dunia.

Sehubungan itu, beliau berkata, tuduhan pembangkang terbabit hanya gerakan politik yang penuh sandiwara dan kelihatan parti Islam itu semakin hilang modal.

“UMNO tahu membezakan antara kerjasama politik demi kestabilan negara ataupun memilih tunduk membuta tuli kepada rakan politik. UMNO tetap berpegang pada prinsip.

“Tidak pernah berselindung dalam menyuarakan pendirian tegas terhadap mana-mana tindakan menyinggung sensitiviti umat Islam. UMNO tidak teragak-agak menzahirkan bantahan demi menjaga hak dan sensitiviti orang Melayu,” katanya.

Sementara itu, Razlan menyangkal dakwaan Abdul Hadi kononnya majoriti Melayu telah menolak UMNO dalam PRK Ayer Kuning, minggu lalu, sedangkan jumlah meningkat dari 323 kepada 384 undi.

“Malah tiga PDM yang sebelum ini dimenangi Pas kini berjaya dirampas kembali oleh UMNO. Apa maknanya ini, jika bukan tanda jelas bahawa sokongan orang Melayu terhadap Pas semakin merosot?

“Ini sekali gus membuktikan bahawa naratif ‘UMNO-DAP’ yang dicanang oleh Abdul Hadi dan konco-konconya hanyalah retorik kosong yang gagal meresap ke dalam minda dan sanubari rakyat Ayer Kuning,” katanya.

Sebaliknya kata Razlan, sebagai orang lama dalam politik, Abdul Hadi seharusnya menunjukkan akhlak dan teladan lebih baik dan perlu membezakan antara serangan peribadi dan politik kebencian.

“Sudah tiba masanya Pas sekali lagi bermuhasabah mengapa pengundi Melayu kian menjauh, dan mengapa retorik Islam yang dibawa semakin tidak dipercayai.

“UMNO tidak pernah mendakwa dirinya maksum. Tetapi kami terus berusaha dengan segala kemampuan untuk menzahirkan perjuangan Islam dan Melayu dalam bentuk dasar dan tindakan yang nyata.

“Kami percaya, rakyat khususnya orang Melayu dapat menilai yang mana kaca dan permata dan teringat saya kata-kata dalam Dewan Bahasa (DBP), awak yang celaka, orang yang diumpat pula,” katanya.

Related Posts

Harga ayam, telur di Sabah tinggi: Kebergantungan makanan import sehingga 98% punca utama

KOTA KINABALU – Kebergantungan terhadap makanan haiwan import dikenal pasti sebagai punca utama isu harga ayam dan telur lebih tinggi di Sabah berbanding di Semenanjung. Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Wisma Putra kemas kini nasihat perjalanan ke Asia Barat, termasuk jemaah haji

KUALA LUMPUR – Kementerian Luar mengemas kini nasihat perjalanan ke rantau Asia Barat dan menggesa rakyat Malaysia termasuk jemaah haji supaya mendaftar keberadaan serta mengemas kini maklumat perhubungan melalui portal…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Inisiatif Kebun Dapur, SAMA perkukuh keterjaminan makanan Sabah – Jamawi

Inisiatif Kebun Dapur, SAMA perkukuh keterjaminan makanan Sabah – Jamawi

Harga ayam, telur di Sabah tinggi: Kebergantungan makanan import sehingga 98% punca utama

Harga ayam, telur di Sabah tinggi: Kebergantungan makanan import sehingga 98% punca utama

Sidang DUN Perlis minggu depan ditangguhkan

Sidang DUN Perlis minggu depan ditangguhkan

Wisma Putra kemas kini nasihat perjalanan ke Asia Barat, termasuk jemaah haji

Wisma Putra kemas kini nasihat perjalanan ke Asia Barat, termasuk jemaah haji

Malaysia peroleh 785 hektar wilayah hasil pemuktamadan sempadan

Malaysia peroleh 785 hektar wilayah hasil pemuktamadan sempadan

Jangan guna media sosial sebar hasutan

Jangan guna media sosial sebar hasutan