
KEMENTERIAN Komunikasi telah melancarkan chatbot semakan fakta bagi mengesahkan berita dan maklumat palsu menerusi aplikasi WhatsApp.
Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, Chatbot sebenarnya.my, AIFA atau ‘Artificial Intelligence Fact-check Assistant’ adalah sebahagian daripada inisiatif kerajaan dalam membendung maklumat yang salah dan menggalakkan penggunaan teknologi digital dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Hari ini menandakan satu lagi kejayaan dengan pelancaran aplikasi Chatbot di platform WhatsApp. Inisiatif ini dikaitkan dengan penggunaan WhatsApp yang meluas merentasi semua peringkat masyarakat, di mana mesej sering dimajukan tanpa pengesahan.
“Ramai melihat WhatsApp sebagai sumber berita dan maklumat, walaupun ada mesej yang kelihatan rasmi tetapi sebenarnya palsu,” katanya ketika berucap pada pelancaran Chatbot sebenarnya.my di sini hari ini.
Kemudahan ini tersedia dalam empat bahasa iaitu bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin dan Tamil.
Beliau juga merupakan Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, AIFA direka untuk membolehkan pengguna menghantar mesej yang boleh dipersoalkan untuk pengesahan.
Jelas Fahmi, ketika ini, chatbot memfokuskan kepada pengesahan maklumat berasaskan teks, tetapi dijangka mengendalikan imej dan video dalam masa terdekat.
“AIFA merupakan alat penting dalam memperkasakan masyarakat dengan maklumat yang disahkan oleh pihak berwajib dan mengurangkan impak buruk daripada maklumat palsu yang tersebar.
“Menurut data Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), 20,000 keping kandungan berita palsu dikesan tahun lepas.
“Daripada jumlah ini, 17,245 telah dikeluarkan daripada platform media sosial selepas disahkan palsu. Sehingga 27 Januari 2025, 1,575 berita palsu telah dikenal pasti, dan 1,233 telah berjaya diturunkan,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata pihak kementerian juga bercadang untuk mengintegrasikan lebih banyak ciri bagi membolehkan pengesahan kandungan multimedia pada masa hadapan.
“MCMC akan terus bekerjasama rapat dengan platform media sosial dan agensi penguatkuasaan untuk menangani penyebaran berita palsu.
“Usaha ini juga akan diperluaskan melalui 1,100 Pusat Sebaran Maklumat Digital (NADI) di seluruh negara bagi memastikan semua rakyat Malaysia, tanpa mengira latar belakang dapat menggunakan sepenuhnya inisiatif ini,” katanya.



