
PUTRAJAYA – Tuduhan Pas kononnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membisu mengenai Titah Adendum Datuk Seri Najib Razak hanyalah fitnah murahan yang membuktikan parti itu tidak memahami isu tersebut secara terperinci.
Ketua Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (BIPPA) Angkatan Muda Keadilan (AMK), Ashraf Hadi berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengerusi Lajnah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (Luham) Pas, Wan Rohimi Wan Daud adalah tidak berasas dan membuka aib kelemahan parti itu dalam mendalami sesuatu isu semasa.
Menurut beliau, tindakan Wan Rohimi tidak hanya memalukan Pas, namun juga mencerminkan kejatuhan moral dan akhlak sebagai seorang pemimpin.
“Kita mengecam sekeras-kerasnya tindakan Wan Rohimi, seorang pemimpin Pas, yang tanpa malu mengeluarkan kenyataan tidak berasas dan jijik terhadap Perdana Menteri.
“Lebih menjijikkan, Wan Rohimi mengungkit kembali tuduhan liwat terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim, walaupun telah menerima pengampunan diraja. Ini adalah fitnah keji yang bertentangan dengan ajaran Islam.
“Malah, buku Qazaf yang ditulis oleh Presiden Pas sendiri, Tuan Guru (Tan Sri) Abdul Hadi Awang, dengan jelas menolak tuduhan tanpa bukti,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, ucapan dilontarkan oleh pemimpin Pas itu membuktikan parti itu bukan bersikap jahil, namun sanggup memperlekehkan prinsip Islam demi politik kotor.
Jelasnya, perkara itu mencerminkan Pas semakin ditolak rakyat sehingga terdesak mencari apa jua isu bagi menyerang kerajaan.
“AMK memberi amaran keras kepada Wan Rohimi, kami mendesak beliau segera memohon maaf secara terbuka atas fitnah yang dilemparkan.
“Jika beliau gagal berbuat demikian, AMK tidak akan teragak-agak untuk membuat laporan polis dan mengambil tindakan undang-undang demi mempertahankan kebenaran serta menghentikan politik kotor yang mencemarkan keharmonian negara,” katanya.
Terdahulu, Wan Rohimi membuat tuduhan kononnya Perdana Menteri menyembunyikan Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16 dan dilihat bermotifkan agenda tertentu.
Pas ketika ini dilihat galak menunggang kes Najib sehingga tergamak melemparkan fitnah terhadap Anwar Ibrahim selain mempersenda dasar Kerajaan Madani.
Malah, Pas ada sahaja dalil untuk kempen solidaritinya bersama Najib sedangkan kurang dua tahun lalu, Presiden parti itu, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan tiada pengampunan termasuk raja-raja dan ketua negara untuk pesalah.
Bagaimanapun, sokongan keterlaluan pembangkang mengundang kecaman orang ramai memandangkan bekas Perdana Menteri itu, dalam kes SRC International Sdn Bhd telah diputuskan bersalah oleh sembilan hakim di tiga peringkat mahkamah.







