Tahanan Gaza di penjara Israel diseksa kejam

RAMALLAH – Dalam satu laporan yang menyayat hati, Suruhanjaya Hal Ehwal Tahanan dan Bekas Tahanan Palestin bersama Persatuan Tahanan Palestin mendedahkan keterangan baharu daripada tahanan Gaza yang baru-baru ini dilawati di penjara Israel Naqab dan Nafha.

Keterangan tersebut mendedahkan pelbagai bentuk penyeksaan, penderaan sistematik, pengabaian perubatan, dan pemukulan kejam, malahan majoriti daripada mereka yang ditahan terus menderita akibat trauma fizikal dan psikologi yang berpanjangan.

Menurut keterangan daripada 23 tahanan dari Gaza, penderaan bermula sebaik sahaja penangkapan, terutama dalam tempoh awal dan semasa soal siasat dua hari.

Hampir 464 hari sejak permulaan pembantaian Israel di Gaza dan lebih setahun sejak ramai tahanan ditahan, laporan itu terus memperincikan penyeksaan, kebuluran, kecuaian perubatan, pemukulan ganas, serta penindasan yang teruk malah penyebaran penyakit kulit scabies yang sangat mudah berjangkit turut dilaporkan dalam kalangan tahanan.

Pendedahan ini menambah bukti yang semakin meningkat mengenai pelanggaran sistematik yang dilakukan oleh tentera Israel terhadap tahanan Palestin dari Gaza.

Walaupun kem tentera Sde Teiman sebelum ini dikenali sebagai pusat utama penyeksaan dan penderaan, keterangan tahanan menunjukkan penderaan serupa kini dilaporkan berlaku di pelbagai penjara dan pusat tahanan lain, termasuk Naqab dan Ofer.

Menteri pelampau Israel, Itamar Ben-Gvir, baru-baru ini mendedahkan dalam video dari Penjara Rakefet, sebuah fasiliti di bawah penjara Nitzan Ramla yang terkenal bahawa beberapa kem tahanan baru telah ditubuhkan selepas perang, termasuk Ofer, Nafha, Anatot, dan Sde Teiman, untuk menahan tahanan dari Gaza.

Kem dan pusat tahanan ini hanya diketahui oleh institusi tertentu, dan tahanan Gaza dipindahkan ke pelbagai penjara Israel.

Keterangan daripada tahanan Gaza menggambarkan corak penyeksaan sistematik dan keadaan hidup yang dahsyat.

Mereka lecurkan saya dengan air panas

Seorang tahanan berusia 45 tahun, K.N., yang ditahan pada Disember 2023, menceritakan pengalaman mengerikannya di mana dia dipukul dengan teruk dan dipaksa untuk mengaku bersalah atas kesalahan yang tidak dibuatnya.

“Saya dipukul dengan teruk untuk mendapatkan pengakuan, menyebabkan patah tulang. Selepas 58 hari di kem sekitar Gaza, saya dipindahkan ke Penjara Naqab di mana mereka lecur saya dengan air panas. Kesan luka bakar masih kelihatan di badan saya. Kami tinggal dalam khemah koyak, menderita kesejukan dan kelaparan yang melampau,” katanya.

Saya tidur lapar dan bangun lapar

Menurut seorang tahanan berusia 21 tahun, dikenali sebagai A.H., berkongsi penderitaannya yang dibiarkan dalam keadaan kelaparan ditambah pula dengan kesakitan akibat penyakit kulit.

“Saya ditahan pada Februari 2024 semasa proses pemindahan dan dibawa ke beberapa kem sebelum sampai ke Naqab. Saya mendapat bisul, luka, dan lubang di seluruh badan akibat scabies.

“Saya tidur dan bangun dalam keadaan lapar. Saya juga mengalami tekanan mata yang tinggi, dan mata kiri saya dalam bahaya serius,” ujarnya.

Kami dipukul sepanjang hari

“Hari-hari pertama penahanan saya sangat mengerikan. Saya diseksa secara brutal, termasuk dipukul sepanjang hari, kemudian disiram dengan air kumbahan dan dikencingi oleh askar.

“Kami kemudian dipindahkan ke kem lain selama 27 hari di mana kami dipaksa melutut, mata ditutup, serta tangan dan kaki diikat. Kami hidup dalam penderitaan yang berterusan,” kata seorang tahanan berusia 21 tahun, dikenali sebagai M.H.

Kami hidup dalam neraka

“Pada mulanya, kami hidup dalam neraka. Kami tidak tahu nasib atau status undang-undang kami. Kami menanggung pelbagai bentuk penderaan, dan kini berdepan kelaparan.

“Bahagian makanan sangat sedikit dan tidak boleh dimakan. Ramai antara kami mengumpul sisa makanan untuk dijadikan satu hidangan. Sejak ditahan, kami dinafikan gula dan garam. Keadaan hidup kami tidak tertanggung,” kata tahanan lain, dikenali sebagai K.J.

Tahanan lapar dan menggigil kesejukan

“Saya ditahan dari sebuah sekolah dan mengalami penderaan fizikal, penghinaan, dan soal siasat lapangan dalam keadaan bogel. Saya kemudian dipindahkan ke pelbagai kem sebelum sampai ke Naqab.

“Hari ini, kebanyakan tahanan mengalami keletihan melampau dan kehilangan berat badan. Ramai pengsan akibat keadaan yang teruk. Kelaparan, penyakit, dan kesejukan tidak tertanggung,” cerita seorang tahanan berusia 25 tahun, M.A.

Mata palsu saya terjatuh akibat dipukul dengan teruk

“Saya ditahan ketika bersama keluarga dan dibawa ke sempadan Gaza sebelum dipindahkan ke Naqab. Pukulan teruk menyebabkan saya kehilangan mata palsu, dan kini rongga mata saya kosong. Kacamata saya juga dirampas oleh askar,” kongsi seorang tahanan dinamakan sebagai M.D.

Keterangan tersebut turut menekankan keperluan kesihatan mendesak ramai tahanan di mana seorang tahanan yang menghidap kanser dan telah menjalani beberapa pembedahan sebelum penahanannya kini menghadapi keadaan yang semakin buruk akibat kekurangan rawatan perubatan yang sesuai malah ramai lagi tahanan turut menderita masalah kesihatan serius dan dinafikan rawatan perubatan.

Laporan itu turut mendedahkan bahawa beberapa tahanan kehilangan ahli keluarga dalam serangan Israel yang berterusan ke atas Gaza manakala seorang lagi tahanan kehilangan isterinya dan beberapa saudara, dan kemudian ayahnya meninggal dunia, menyebabkan dia terpaksa menanggung kesedihan yang tidak terbayangkan semasa dalam tahanan.

Related Posts

Trump arah ketua perisikan sementara pecat kakitangan

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menggesa ketua perisikan sementara yang baharu dilantik supaya memulakan tindakan memecat kakitangan. Perkara itu menambah kontroversi berhubung pelantikan individu tidak mempunyai pengalaman…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Israel rancang perluas 70 peratus wilayah Gaza, garisan kuning kian menghimpit

RANCANGAN Israel untuk meluaskan penguasaan ketenteraannya sehingga merangkumi 70 peratus wilayah Gaza mencetuskan kebimbangan mendalam dalam kalangan warga Palestin yang menyifatkan zon perlindungan sivik kini semakin mengecil dan tidak lagi…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Sambutan Hari Gawai DUN Kabong meriah, perkukuh perpaduan masyarakat

Sambutan Hari Gawai DUN Kabong meriah, perkukuh perpaduan masyarakat

“Game Is On!” – Anthony Loke isyarat PH sedia hadapi PRN serentak Johor, Negeri Sembilan

“Game Is On!” – Anthony Loke isyarat PH sedia hadapi PRN serentak Johor, Negeri Sembilan

Johor perlukan kestabilan, Malaysia perlukan kesinambungan – Presiden AMANAH

Johor perlukan kestabilan, Malaysia perlukan kesinambungan – Presiden AMANAH

Anwar tekankan kepentingan teknologi, nilai kemanusiaan dan tolak politik perpecahan

Anwar tekankan kepentingan teknologi, nilai kemanusiaan dan tolak politik perpecahan

Pembahagian kerusi PH Johor selesai, tunggu lampu hijau Anwar

Pembahagian kerusi PH Johor selesai, tunggu lampu hijau Anwar

Aminuddin kecewa dikhianati hingga DUN Negeri Sembilan dibubar

Aminuddin kecewa dikhianati hingga DUN Negeri Sembilan dibubar