
KUCHING – Penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang, Datuk Haji Idris Buang mengumumkan bahawa beliau tidak akan menawarkan diri untuk bertanding semula bagi kerusi N.16 Muara Tuang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.
Idris yang juga Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak berkata, keputusan itu dibuat dengan perasaan berat hati, namun penuh kesyukuran selepas hampir sedekad diberikan kepercayaan untuk berkhidmat kepada masyarakat di kawasan berkenaan.
“Dengan hati yang berat tetapi penuh rasa syukur dan keinsafan, saya ingin memaklumkan bahawa saya tidak akan menawarkan diri untuk bertanding semula bagi kerusi N.16 Muara Tuang dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-13 yang akan datang,” katanya.
Beliau memaklumkan perkara itu menerusi kenyataan rasmi bertajuk ’Sedekad Menabur Bakti, Sebuah Kenangan Abadi’ yang dikeluarkan pada Isnin.
Menurutnya, sepanjang tempoh perkhidmatan sebagai wakil rakyat, beliau bersyukur kerana berpeluang menyumbang kepada pembangunan Muara Tuang di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Idris berkata, pembangunan yang dilaksanakan di Sarawak sepanjang tempoh berkenaan turut memberikan manfaat kepada kawasan Muara Tuang, meskipun masih terdapat pelbagai keperluan rakyat yang perlu diberikan perhatian.
Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap kepimpinan Abang Johari yang disifatkannya telah membawa kemajuan kepada Sarawak.
“Saya berundur pada suatu era yang amat bermakna, ketika Sarawak sedang mencapai kemajuan dan kecemerlangan luar biasa di bawah kepimpinan bijaksana Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg,” katanya.
Dalam pada itu, Idris menegaskan bahawa beliau menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan Abang Johari untuk menentukan calon yang akan meneruskan tanggungjawab sebagai wakil rakyat Muara Tuang.
Menurutnya, beliau bersedia menerima apa-apa jua keputusan kepimpinan dengan hati terbuka, selain memberikan kerjasama kepada calon yang dipilih bagi menghadapi pilihan raya berkenaan.
“Namun, masih banyak yang perlu dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat. Justeru, saya menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan YAB Premier untuk menentukan calon terbaik bagi meneruskan amanah dan perjuangan ini.
“Saya menerima dengan hati terbuka apa jua keputusan kepimpinan dan berikrar memberikan sokongan penuh, termasuk turun padang membantu kempen calon yang dipilih,” katanya.
Sementara itu, Idris turut merakamkan penghargaan kepada seluruh penduduk Muara Tuang atas kepercayaan serta sokongan yang diberikan sepanjang beliau menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat.
Beliau turut berterima kasih kepada kepimpinan parti, ketua masyarakat dan ketua kaum, pemimpin akar umbi serta masyarakat pelbagai latar belakang yang sentiasa memberikan kerjasama sepanjang tempoh perkhidmatannya.
Menurutnya, hubungan baik dan semangat perpaduan yang terbina bersama masyarakat Muara Tuang merupakan antara pengalaman bermakna yang akan terus dikenang.
Idris turut memohon maaf atas sebarang kekurangan sepanjang menjalankan amanah yang diberikan kepadanya.
“Jawatan boleh berganti, amanah boleh berakhir, tetapi persaudaraan dan semangat perjuangan akan kekal abadi,” katanya.
Mengakhiri kenyataan, beliau sekali lagi menyatakan komitmen untuk terus memberikan sokongan kepada kepimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta calon yang bakal diputuskan bagi kerusi Muara Tuang.
“Terima kasih, Muara Tuang. Segala kepercayaan dan kenangan sepanjang hampir sepuluh tahun ini akan saya hargai sepanjang hayat,” katanya.
Untuk rekod, Idris memenangi kerusi DUN Muara Tuang pada PRN Sarawak 2016 dan berjaya mempertahankan kerusi tersebut pada pilihan raya 2021.
Keputusan beliau untuk tidak menawarkan diri bertanding semula membuka ruang kepada kepimpinan GPS untuk mempertimbangkan calon lain bagi kerusi berkenaan pada PRN Sarawak ke-13.


