
KOTA KINABALU – Perlawanan kedua Pusingan 16 Unifi Piala Malaysia antara Sabah FC dan PT Athletic FC akan berlangsung di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras pada 27 November ini.
Pengurus Besar Sabah FC, Md Joh Wid berkata, Stadium Likas yang menjadi gelanggang tuan rumah tidak dapat digunakan kerana dijadikan gelanggang kejohanan South East Asean (Asean) Youth Athletic Championship 2024.
Beliau berkata, perlawanan dijadualkan bermula pada pukul 8.30 malam dan Sabah FC memohon maaf atas sebarang kesulitan yang timbul.
“Tiket fizikal akan mula dijual pada hari perlawanan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur bermula jam 12 tengah hari.
“Manakala, pemegang pas bermusim boleh menggunakan pas mereka di pintu utama stadium,” katanya dalam satu kenyataan di laman rasmi Facebook Sabah FC pada Selasa.
MD Joh Wid juga berharap penyokong setia yang berada di Semenanjung Malaysia, terutamanya di sekitar Kuala Lumpur dan Lembah Klang dapat hadir memberi sokongan padu kepada pasukan Skuad Badak.





