KANGAR – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas dadah jenis ganja bernilai RM93,000 yang dilempar melepasi tembok sempadan negara di Bukit Patu Putih di Kuala Perlis baru-baru ini.
Pengarah JKDM, Ismail Hashim berkata, dalam serbuan pada pukul 8.30 malam 12 November lalu, pihaknya menjumpai dua bungkusan guni putih ditinggalkan di kawasan tersebut dalam keadaan mencurigakan.
“Anggota penguat kuasa bergegas ke tembok sempadan selepas mendapat maklumat bahan terlarang itu dicampak dari arah negara jiran melepasi pagar sempadan ke negara.
“Pemeriksaan rapi terhadap bungkusan itu mendapati terdapat 30 ketulan mampat disyaki dadah jenis kanabis dengan berat keseluruhan dianggarkan 30.15 kilogram bernilai RM93,000,” katanya semasa sidang akhbar di Ibu Pejabat JKDM negeri di sini hari ini.
Menurut Ismail, hasil risikan kastam, dadah berkenaan dipercayai untuk kegunaan di sebelah utara dan tidak mustahil untuk diedarkan di kawasan Lembah Klang.
“Berdasarkan jumlah berat dadah yang berjaya dirampas kastam, ia mampu menghalang pengedaran dadah untuk kegunaan lebih 150,000 penagih dadah,” ujarnya.
Ismail menjelaskan, lokasi di mana dadah itu dirampas adalah kawasan terpencil kira-kira satu kilometer dari pos Pasukan Gerakan Am dengan kawasan hutan di sebelah Thailand dan bungkusan itu akan diambil oleh individu di sebelah Malaysia.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.






