
SURUHANJAYA Perkhidmatan Awam (SPA) telah melantik secara tetap seramai 3,200 pegawai perubatan, 350 doktor gigi dan 400 ahli farmasi yang memohon pelantikan kontrak (interim) di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 21 Oktober lalu.
Menerusi satu kenyataan, KKM berharap agar calon yang menerima pelantikan tetap akan terus memberikan perkhidmatan yang lebih baik demi kesejahteraan masyarakat di negara ini.
“Semoga dengan pelantikan tetap ini, semua calon akan terus komited dan memberikan perkhidmatan lebih cemerlang demi kesejahteraan masyarakat Malaysia Madani” kata kenyataan itu.
Kementerian berkata, calon yang ingin menukar penempatan boleh berbuat demikian melalui Google Form yang disediakan dalam sistem e-Placement dari 5 November hingga 11 Nov 2024, untuk pegawai perubatan dan dari 5 hingga 15 Nov untuk pegawai pergigian dan farmasi.
Menurut kenyataan itu, Jawatankuasa Rayuan Penempatan akan mempertimbangkan hanya rayuan yang dikemukakan melalui Google Form dalam tempoh yang ditetapkan.
Calon akan dimaklumkan mengenai keputusan rayuan melalui portal Semakan Kerjaya KKM pada 2 Disember 2024.
KKM berkata, antara aspek rayuan yang akan dipertimbangkan adalah calon yang kini mengikuti pengajian kepakaran yang diluluskan oleh Kementerian Kesihatan; calon, pasangan atau anak yang mengalami masalah kesihatan yang serius (disokong oleh laporan perubatan); atau permohonan untuk pertukaran bersama yang dikemukakan oleh mana-mana calon.
Jabatan Kesihatan Negeri akan melaksanakan penempatan calon ke fasiliti mulai 23 Disember.
Menurut kenyataan itu, tarikh pelantikan tetap calon adalah mengikut tarikh pelaporan berkuatkuasa untuk bertugas iaitu 30 Dis 2024 atau tarikh baharu yang diluluskan oleh ketua jabatan sekiranya memohon penangguhan pelaporan bertugas.






