
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berada di kedudukan kelapan dalam senarai Asia’s Most Influential Leaders dengan memperoleh skor 46 berdasarkan penarafan ABC Asia.
Kedudukan itu meletakkan Anwar dalam kelompok lapan pemimpin Asia yang disenaraikan, bersama beberapa tokoh utama rantau ini termasuk Presiden China, Xi Jinping, Perdana Menteri India, Narendra Modi dan Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong.
Xi mendahului senarai dengan skor 100, diikuti Modi (79) dan Wong (74).
Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi turut memperoleh 74 mata, manakala Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese mencatatkan 68 mata.
Presiden Korea Selatan, Lee Jae-myung pula memperoleh 52 mata, diikuti pemimpin Vietnam, To Lam dengan 50 mata.
Penyenaraian itu hadir ketika Malaysia terus mempergiat hubungan diplomatik dengan pelbagai negara serta memainkan peranan dalam menangani cabaran geopolitik dan ekonomi serantau.
Antara perkembangan yang mendapat perhatian ialah penglibatan Malaysia dalam usaha meredakan ketegangan antara Kemboja dan Thailand ketika negara mempengerusikan ASEAN pada 2025.
Malaysia turut memperkukuh kerjasama serantau menerusi platform ASEAN, khususnya dalam aspek keselamatan, perdagangan, pelaburan, ekonomi digital dan kestabilan geopolitik.
Selain itu, penyertaan Anwar dalam Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di Shenzhen, China, pada November ini mencerminkan usaha berterusan Malaysia memperluas hubungan perdagangan, menarik pelaburan serta memperkukuh kerjasama strategik dengan rakan antarabangsa.



