
KOTA KINABALU – Kontinjen Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) Sabah berpeluang menerima insentif tambahan sekiranya sekali lagi muncul juara pada kejohanan peringkat kebangsaan.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, insentif itu akan dipertimbangkan sebagai penghargaan terhadap kesungguhan atlet murid mengharumkan nama Sabah.
“Sebagai komitmen terhadap pembangunan sukan sekolah, saya akan menyediakan peruntukan RM30,000 tahun hadapan bagi membantu persiapan kontinjen MSSM Sabah.
“Saya selaku menteri yang bertanggungjawab, tahun hadapan kita akan sediakan RM30,000 kepada persiapan kontinjen MSSM Sabah untuk mempermudahkan lagi gerak kerja mereka, persiapan mereka.
“Insya-Allah kalau mereka mencipta kejayaan lagi sebagai juara, kita akan fikirkan untuk memberi lebih lagi insentif sebagai penghargaan kita terhadap kesungguhan mereka mengharumkan Sabah di peringkat kebangsaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Anugerah Pamer Keunggulan Peringkat Negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Khamis.
Dalam pada itu, Nizam berkata, usaha mengenal pasti bakat sukan perlu bermula sejak peringkat sekolah rendah bagi menyediakan barisan atlet pelapis yang mampu menyumbang kepada kecemerlangan sukan Sabah.
Katanya, kementeriannya akan terus bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) bagi mengembangkan bakat murid yang dikenal pasti, sekali gus membuka laluan kepada mereka untuk bersaing di peringkat lebih tinggi.
“Pembangunan bakat sejak di bangku sekolah penting bagi melahirkan atlet yang bukan sahaja mampu mencipta kejayaan di peringkat negeri dan kebangsaan, malah berpotensi mengharumkan nama Sabah di pentas antarabangsa,” ujarnya.

