
KUANTAN – Kerajaan Pahang terus mempergiat usaha membanteras spesies ikan asing dan invasif di perairan negeri bagi melindungi ekosistem sungai serta memastikan kelestarian sumber perikanan asli.
Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Pahang, Datuk Seri Ir Mohd Soffi Abd Razak berkata, sambutan menggalakkan terhadap Kempen Tangkap Ikan Baung Ekor Merah mencerminkan komitmen bersama Kerajaan Negeri dan masyarakat dalam menangani ancaman spesies invasif terhadap habitat dan populasi ikan tempatan.
“Kerajaan negeri akan terus menjalankan kempen dan usaha untuk memperkasakan sebarang tindakan bagi membendung usaha membawa masuk atau membiak ikan-ikan invasif ini,” katanya, lapor Pahang Media.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Mengulas dakwaan kewujudan ikan piranha di Empangan Kelau, Mohd Soffi berkata, Jabatan Perikanan telah mengambil tindakan proaktif bagi mengesan kewujudan spesies berkenaan.
“Setelah kita menjalankan kempen dengan penglibatan lebih daripada 150 nelayan darat, kita masih belum mendapat atau melihat tanda-tanda sebenarnya piranha ini wujud di kawasan yang disebutkan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan usaha pemantauan akan diteruskan bagi memastikan spesies invasif berkenaan tidak menular ke perairan negeri.
“Saya mohon kerjasama daripada semua pihak untuk sama-sama dengan kerajaan negeri dan Jabatan Perikanan menangani isu ini,” katanya.
Dalam usaha memperkukuh kelestarian sumber perikanan, kerajaan negeri turut memperuntukkan RM250,000 bagi pemeliharaan baka ikan asli bernilai tinggi di Sungai Pahang, manakala RM300,000 bagi pengurusan sumber perikanan marin dan program konservasi penyu.
Sementara itu, bagi sektor penternakan, kerajaan negeri menyediakan peruntukan RM5 juta khusus untuk pembangunan industri baka kerbau tenusu, termasuk memperkukuh potensi pengeluaran susu kerbau yang mempunyai nilai pemakanan dan kesihatan yang baik.

