
KUALA LUMPUR – Sebanyak tiga tan dadah jenis methamphetamine atau syabu bernilai RM156 juta dipercayai diseludup melalui Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Tawau, Sabah dan Labuan sejak Ogos 2024.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kegiatan itu membabitkan 21 transaksi yang dikesan menerusi risikan berterusan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Sebanyak 14 transaksi melalui Pangkalan TUDM Labuan membabitkan 1.2 tan syabu bernilai RM63 juta, manakala tujuh lagi melalui Pangkalan TUDM Tawau membabitkan 1.8 tan bernilai RM93 juta.
“Jumlah dadah berkenaan berpotensi membekalkan sehingga 15 juta individu berdasarkan anggaran pengambilan methamphetamine sebanyak 0.02 gram bagi setiap individu.
“Pengambilan methamphetamine hanya memerlukan 0.02 gram (g), jadi jika jumlah tangkapan ini sahaja sudah tiga tan, bahan ini mampu memberikan bekalan kepada 15 juta orang.
“Bayangkan kalau kita tidak lumpuhkan kegiatan ini, mangsanya berjuta-juta orang,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) di Dewan Rakyat, di sini, pada Rabu.
Ronald meminta penjelasan mengenai kaedah sindiket penyeludupan dadah mengeksploitasi kemudahan penerbangan TUDM di Sabah sebagai laluan transit antarabangsa.
Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata, kerajaan memandang serius kegiatan itu yang dipercayai membabitkan sindiket jenayah terancang dengan mengeksploitasi anggota, kemudahan, aset serta infrastruktur strategik negara.
Katanya, siasatan diperluaskan bagi mengenal pasti keseluruhan rangkaian sindiket termasuk peranan setiap individu terbabit tanpa mengira kedudukan atau pangkat.
“Ketua sindiket masih bebas, tetapi kita sudah mengenal pasti individu berkenaan. Saya yakin dalam sedikit masa lagi kita akan berjaya menangkapnya dan siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.
“Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) juga akan digunakan,” katanya.
Beliau berkata, setakat ini seramai 13 individu ditahan, termasuk tujuh pegawai dan anggota TUDM serta enam orang awam.
Siasatan turut membawa kepada rampasan 96.64 kilogram (kg) syabu bernilai RM4.83 juta serta sitaan tiga kenderaan bernilai RM172,062.
Menurutnya, walaupun risikan bermula pada Januari 2026, siasatan awal mendapati kegiatan itu dipercayai sudah beroperasi sejak beberapa tahun lalu dan membabitkan sindiket besar yang mempunyai rangkaian tersusun.
Katanya, sebahagian individu terbabit sudah ditangkap, didakwa dan dipenjarakan, manakala usaha mengesan anggota sindiket lain yang masih bebas diteruskan.
Menjawab bagaimana kemudahan penerbangan tentera dieksploitasi, beliau berkata, siasatan awal mendapati terdapat individu yang mempunyai akses serta hubungan dengan personel dan operasi penerbangan tentera.
“Kita percaya perkara ini menjadi permulaan kepada sindiket untuk menggunakan kemudahan berkenaan bagi tujuan penyeludupan,” katanya.
Saifuddin berkata, harga syabu di pasaran tempatan dianggarkan sekitar RM50,000 sekilogram, namun boleh mencecah RM450,000 sekilogram di pasaran antarabangsa, sekali gus menjadikan kegiatan itu sumber keuntungan besar kepada sindiket.



