
KOTA KINABALU – Masyarakat dan komuniti di Sabah digesa lebih peka terhadap keselamatan serta kebajikan kanak-kanak bagi mengelakkan mereka terheret dalam aktiviti bantahan yang boleh menjejaskan pendidikan dan perkembangan diri.
Pengerusi Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS) Sabah, Datuk Mohammad Arif Tun Sakaran berkata, pihaknya memandang serius sebarang penglibatan pelajar dalam aktiviti sedemikian, khususnya apabila mereka dibawa ke kawasan terbuka atau tempat awam.
“Keselamatan kanak-kanak perlu menjadi keutamaan semua pihak kerana golongan itu sepatutnya diberikan perhatian dari segi pembangunan sahsiah, pembelajaran dan pendidikan.
“Penglibatan pelajar dalam aktiviti yang tidak memberi manfaat kepada mereka perlu dielakkan bagi memastikan tumpuan terhadap pendidikan tidak terjejas.
“Jadi, sudah tentunya PIBKS memandang serius apabila berlaku sesuatu perkara melibatkan pelajar yang dibawa ke tempat terbuka atau tempat awam.
“Saya berharap perkara seperti ini tidak berlaku dan seluruh masyarakat serta komuniti perlu peka terhadap keselamatan dan kebajikan anak-anak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Anugerah Pamer Keunggulan Peringkat Negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Khamis.
Tambahnya, ibu bapa dan masyarakat mempunyai tanggungjawab bersama untuk memastikan anak-anak sentiasa dilindungi serta tidak terdedah kepada keadaan yang boleh menjejaskan kesejahteraan mereka.
Dalam panda itu, beliau berkata, PIBKS akan terus memperkukuh kerjasama strategik dengan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah bagi menyokong pembangunan dan kemajuan sahsiah pelajar di negeri ini.
“Pengiktirafan yang diterima PIBKS menerusi majlis berkenaan mencerminkan hubungan kerjasama antara kedua-dua pihak dalam menyokong usaha memperkasa sektor pendidikan.
“PIBKS akan terus memainkan peranan sebagai rakan strategik Jabatan Pendidikan Negeri Sabah menerusi pelbagai bentuk kolaborasi demi pembangunan pelajar di negeri ini,” ujarnya.
Terdahulu, beliau menerima Anugerah Bakti Gemilang daripada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah sebagai pengiktirafan terhadap peranan PIBKS sebagai rakan strategik.


