
TINDAKAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghentikan amalan penubuhan anak syarikat bagi membolehkan pengurusan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) memperoleh elaun tambahan disokong bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.
Puad berkata, amalan berkenaan perlu dihentikan segera, selain mencadangkan supaya undang-undang baharu diwujudkan bagi menghalang pengerusi GLC daripada memegang jawatan sama dalam anak syarikat di bawah entiti berkenaan.
Beliau berkata, terdapat pengerusi GLC yang menjadi pengerusi kepada puluhan anak syarikat bagi membolehkan mereka memperoleh elaun tambahan sehingga RM70,000.
“Memang tepat amalan ini dihentikan segera. Justeru mesti ada satu akta baharu untuk GLC tidak membenarkan pengerusi GLC jadi pengerusi kepada anak-anak syarikat di bawahnya.
“Amalan menubuhkan berbelas anak syarikat baharu untuk tujuan jadi pengerusi dan elaun tambahan juga mesti dihentikan,” katanya.
Dalam pendedahan menerusi program Dialog Negara terbitan RTM, Anwar berkata, kerajaan sudah mengenal pasti dan menghentikan amalan seorang pengurus GLC yang didakwa menubuhkan 70 anak syarikat kecil untuk memperoleh elaun tambahan RM70,000 sebulan.
Pengurus terbabit dipercayai menerima kira-kira RM1,000 daripada setiap anak syarikat, manakala Anwar turut menjelaskan bahawa walaupun GLC dan lembaga pengarahnya tertakluk kepada kawalan kewangan serta audit, anak syarikat beroperasi secara bebas.
Puad turut mendakwa kaedah penubuhan anak syarikat berkenaan digunakan bagi membolehkan kroni politik dilantik sebagai ahli lembaga pengarah.
Sehubungan itu, beliau berpandangan Anwar wajar mendedahkan nama GLC yang terbabit bagi memastikan ketelusan dalam menangani isu berkenaan.
Katanya, kewujudan terlalu banyak anak syarikat yang tidak mempunyai aktiviti perniagaan, mengalami kerugian dan menanggung hutang tinggi turut menjejaskan kedudukan kewangan.


