BUKIT RAMBAI – Pengundi diingatkan supaya memilih calon yang mampu membawa idea dan hala tuju seiring Kerajaan Persekutuan bagi memastikan pembangunan kawasan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Veteran tentera, Abu Samad Bidin berkata, faktor keserasian antara pentadbiran kerajaan negeri dan Persekutuan juga perlu diberikan perhatian oleh pengundi dalam menentukan calon yang bakal dipilih.
Beliau berpandangan, calon muda Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang, Farzana Hayani Mohd Nasir, dilihat mempunyai keupayaan untuk memikul tanggungjawab sebagai wakil rakyat dan wajar diberikan peluang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini.
“Masing-masing semua dah dewasa. Jadi memilih calon tu terpulang pada diri sendiri, ya.
Jadi kita kalau boleh kita cari orang yang ada idea dan sealiran antara Pusat dengan Negeri.
“Jadi saya punya pandangan ya, calon Harapan, Nana (Farzana). Dia masih budak muda, dia pun boleh buat kerja. Jadi kita bagi peluang kat dia. Untuk kali inilah,” katanya ketika ditemui The Malaysia Press (TMP), pada Isnin.
Abu Samad berkata, sokongannya terhadap Farzana bukan disebabkan pencalonan wanita itu pada PRN kali ini kerana beliau sudah mengenalinya sejak sekian lama yang dilihat mempunyai potensi untuk melaksanakan tugas sebagai wakil rakyat.
Katanya, pengenalan lebih awal itu membolehkannya menilai keupayaan dan potensi Nana, sekali gus menjadi antara pertimbangan untuk memberikan peluang kepada calon berkenaan.

“Saya kenal Nana ni bukan hari ni, bukan dia masuk dah menjadi calon. Dia pun pandai berbahasa Cina.
“Kelebihan dia adalah di situ boleh berkomunikasi dengan masyarakat cina tapi kalah menang ni kita tak dapat nak ramalkan kerana itu keputusan pengundi,” katanya.

