Gambar Hiasan
KUALA LUMPUR – Ringgit dijangka diniagakan tinggi sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada minggu depan ketika pelabur menilai prospek kadar faedah AS.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, tumpuan utama pelabur terarah kepada data inflasi AS bagi Oktober yang akan diumumkan Selasa dan Jumaat ini.
“Bacaan inflasi yang lebih rendah boleh memberi tekanan ke atas hasil Perbendaharaan AS dan dolar AS, sekali gus menyokong ringgit,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata, keputusan Bank Negara Malaysia mengekalkan Kadar Dasar Semalaman pada 2.75 peratus memberi dasar yang konsisten dan stabil.
Bagaimanapun, dagangan dijangka kekal berhati-hati sementara menunggu laporan pekerjaan AS serta perkembangan dasar AS dan risiko geopolitik.
Sehubungan itu, ringgit dijangka diniagakan dalam jajaran RM4.04 hingga RM4.06 berbanding dolar AS minggu depan.
Sementara itu, Rakan Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes menjangkakan ringgit diniagakan antara RM4.045 hingga RM4.065.
Beliau berkata, hala tuju ringgit akan bergantung kepada pasaran minyak mentah dan ekuiti global berbanding faktor domestik.
Bagi tempoh Jumaat ke Jumaat, ringgit menyusut kepada 4.0565/0610 berbanding dolar AS daripada 4.0555/0600 pada minggu sebelumnya.



