
KUCHING – Hubungan kukuh antara Perkhidmatan Awam Sarawak dengan Perkhidmatan Awam Persekutuan menjadi asas penting bagi memastikan pelaksanaan dasar dan program pembangunan di negeri ini lebih terselaras serta memberikan manfaat kepada rakyat.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kerjasama kedua-dua perkhidmatan awam itu juga penting bagi memastikan sumber kerajaan dimanfaatkan secara berkesan dan keperluan rakyat sentiasa diberi keutamaan.
Menurutnya, hubungan berkenaan perlu terus diperkukuh bagi menyelaraskan agenda pembangunan, menangani kekangan pelaksanaan serta memastikan setiap perancangan kerajaan diterjemahkan kepada tindakan.
“Kerjasama erat antara Perkhidmatan Awam Sarawak dengan Perkhidmatan Awam Persekutuan juga amat penting bagi menyelaraskan keutamaan pembangunan, menangani kekangan pelaksanaan dan memastikan sumber yang tersedia dimanfaatkan secara optimum,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Sambutan Hari Perkhidmatan Awam (HPA) Sarawak 2026 di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), pada Rabu.
Abang Johari berkata, penyelarasan antara kementerian, jabatan dan agensi kerajaan semakin penting ketika Sarawak memasuki fasa kedua pelaksanaan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), seiring Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).
Menurutnya, keberkesanan pelaksanaan agenda pembangunan sepanjang tempoh RMK13 akan menentukan sejauh mana aspirasi Sarawak menjelang 2030 dapat direalisasikan.
Beliau menegaskan bahawa setiap kementerian, jabatan dan agensi perlu memahami tanggungjawab masing-masing serta memastikan usaha pembangunan saling melengkapi.
Katanya, sebarang kelemahan atau kekangan pelaksanaan perlu dikenal pasti dan ditangani segera supaya tidak menjejaskan kemajuan yang telah dirancang.
Dalam pada itu, Abang Johari turut merakamkan penghargaan kepada anggota Perkhidmatan Awam Persekutuan yang bertugas di Sarawak, khususnya di kawasan terpencil yang berdepan pelbagai cabaran.
Menurutnya, tanpa mengira peranan atau bidang tanggungjawab, kedua-dua perkhidmatan awam mempunyai matlamat yang sama, iaitu memastikan rakyat mendapat akses kepada perkhidmatan asas berkualiti dan tiada komuniti tercicir daripada pembangunan.
Sementara itu, Setiausaha Persekutuan Sarawak, Datuk Ahmad Nadzri Mohd Hassan dalam ucapan berasingan pada majlis sama turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak atas Bantuan Khas Kewangan (BKK) yang diumumkan kepada penjawat awam Persekutuan yang berkhidmat di negeri ini.
Kerajaan Sarawak pada 21 Oktober lalu mengumumkan BKK sebanyak RM700 secara sekali beri kepada penjawat awam Persekutuan yang berkhidmat di Sarawak, dengan pembayaran dijadualkan pada suku pertama 2027.
Abang Johari turut menyeru seluruh warga perkhidmatan awam supaya mempercepat pelaksanaan projek dan memastikan setiap peruntukan pembangunan diterjemahkan kepada hasil yang dapat dirasai rakyat.


