
KUCHING – Sarawak akan memperkenalkan Garis Panduan Outcome Program bagi memastikan setiap peruntukan yang dibelanjakan untuk program dan projek kerajaan memberikan manfaat nyata kepada rakyat.
Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, garis panduan itu akan menjadi instrumen kawalan dan penanda aras bagi menilai keberkesanan pelaksanaan program serta projek yang dibiayai kerajaan negeri.
Menurutnya, kejayaan sesuatu projek tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah perbelanjaan atau pelaksanaan semata-mata, sebaliknya mengambil kira perubahan positif yang dapat dirasai masyarakat.
“Sehubungan itu, kita akan memperkenalkan Garis Panduan Outcome Program sebagai instrumen kawalan dan penanda aras keberkesanan pelaksanaan program dan projek di bawah pembiayaan Kerajaan Sarawak,” jelas beliau.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Sambutan Hari Perkhidmatan Awam (HPA) Sarawak dan Anugerah SCSICA 2026 di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), pada Rabu.
Mohamad Abu Bakar berkata, pendekatan berkenaan selaras dengan usaha mengubah sistem penyampaian perkhidmatan awam Sarawak supaya lebih berpaksikan rakyat.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua ketua jabatan memberikan komitmen sepenuhnya bagi memastikan setiap program dan projek dinilai secara kritikal serta telus.
Katanya, pendekatan berkenaan penting bagi menjamin setiap sen pelaburan kerajaan diterjemahkan kepada hasil yang bermakna untuk rakyat.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad Abu Bakar turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Sarawak atas keprihatinannya terhadap kebajikan penjawat awam, khususnya menerusi pengumuman Bantuan Khas Kewangan (BKK) bersamaan dua bulan gaji kepada anggota Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak.
Beliau turut menghargai bantuan kewangan sebanyak RM500 kepada pesara Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak yang diumumkan kerajaan negeri.
Pengumuman bantuan tersebut dibuat Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika menggulung perbahasan Belanjawan Sarawak 2027 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, 21 Oktober lalu.
Menurut Mohamad Abu Bakar, penghargaan itu mencerminkan keprihatinan kerajaan negeri terhadap sumbangan penjawat awam dan pesara serta keluarga mereka.
Dalam pada itu, beliau berkata, Perkhidmatan Awam Sarawak akan terus memperkukuh pembangunan modal insan melalui latihan, peningkatan kemahiran dan pembangunan kepimpinan bagi menyediakan penjawat awam menghadapi cabaran masa depan.
Beliau turut menekankan kepentingan memupuk budaya inovasi yang mampu meningkatkan keberkesanan perkhidmatan kerajaan dan kesejahteraan rakyat.
Sambutan HPA Sarawak 2026 yang bertemakan ‘Future Ready Civil Service’ itu dijangka menghimpunkan kira-kira 4,200 penjawat awam, manakala 51 pasukan menyertai Anugerah SCSICA 2026.



