KUALA LUMPUR – Khabar angin kononnya bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan melunaskan bayaran denda RM50 juta pada hari ini adalah tidak benar.
Perkara itu dinafikan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Beliau berkata, kutipan sumbangan awam dilaksanakan UMNO menerusi ‘Tabung Solidariti Najib Razak‘ sejak 18 September lalu masih belum mencukupi.
“Masih belum cukup lagi. Jadi tidak betul (khabar angin) itu,” katanya ringkas.
Bagaimanapun, Asyraf Wajdi enggan mendedahkan jumlah terkini yang dikumpul melalui tabung berkenaan.
Pada 18 September lalu, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan memberikan pengampunan bersyarat kepada Najib yang membolehkan baki hukuman dijalani di bawah tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada syarat ditetapkan termasuk bayaran denda RM50 juta.


