
KOTA KINABALU – Program Town Hall Discussion bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilihat sebagai platform penting dalam meningkatkan kesedaran serta memperkukuh kerjasama pelbagai pihak bagi menangani isu buli yang semakin meningkat, khususnya dalam kalangan pelajar.
Focal Person Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Pihak Swasta (PIBKS) Kementerian Pendidikan, Datuk Mohammad Arif Datuk Seri Sakaran berkata, program itu memberi ruang kepada semua pihak untuk memahami pendekatan lebih berkesan dalam menangani kes buli melalui perkongsian pandangan dan pengalaman.
“Program yang sangat baik kerana inilah bagaimana kita lihat keberkesanan untuk kita menangani isu-isu buli di negara kita yang semakin meningkat daripada tahun ke tahun.
“Kita perlu ada kesedaran daripada seluruh komuniti agar kes buli ini dapat ditangani dengan baik dan bijaksana,” katanya kepada media selepas program tersebut, di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kota Kinabalu, pada Rabu.

Beliau yang juga panel Town Hall itu berkata, kes buli melibatkan pelajar memerlukan pendekatan berbeza berbanding kes jenayah lain kerana aspek bimbingan dan kebersamaan komuniti amat penting dalam menyelesaikan masalah berkenaan.
“Kes-kes sebagai pelajar agak berbeza dengan kes yang lain, jenayah kerana ini perlu bimbingan dan perlu kebersamaan di antara seluruh pihak komuniti agar kes-kes buli ini dapat kita noktahkan di seluruh negara.
“Penglibatan PDRM, PIBKS dan pihak kesihatan mental dalam program ini juga membuktikan kepentingan pendekatan bersepadu bagi memastikan usaha membanteras buli lebih berkesan,” ujarnya.
Menyentuh isu buli di media sosial, Mohammad Arif berkata, gejala berkenaan turut perlu diberi perhatian kerana pelajar berisiko terpengaruh dengan kandungan yang memaparkan perlakuan buli.
“Ini membabitkan media sosial kerana kalau kita lihat dari segi media sosial juga perlu ditangani kerana ini perlunya ada satu kolaborasi kepada semua pihak.
“Pada hari ini, kita dapat menjelaskan bagaimana buli-buli ini berlaku bukan hanya daripada ejekan dan pergaduhan tapi daripada media sosial juga.
“Terutamanya pelajar yang melihat dan mencontohi media-media sosial ini dan akhirnya mereka mengikuti,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Pengawas SMK Majakir, Muhammad Afi Hazim Mohd Ali Rahman, 16, berkata program berkenaan memberi pendedahan mengenai cara menangani buli serta mengenali pelbagai jenis perlakuan buli di sekolah.
“Selain itu, kita boleh mengenali jenis-jenis buli yang terdapat di sekolah dan kita juga boleh mengambil iktibar daripada program ini untuk dijadikan panduan ketika di sekolah nanti.
“Cara mengatasi buli di sekolah bagi saya pula mungkin yang pertama saya akan menangani situasi itu sendiri. Sekiranya tidak dapat ditangani oleh saya, mungkin saya akan membawa kes itu kepada guru disiplin untuk selesaikan perkara itu dengan lebih lanjut,” katanya.
Pelajar SMK Taman Tun Fuad, Ariefa Nur Masyitah Abdullah, 16, berkata, program berkenaan memberi pengajaran kepada mereka supaya tidak terlibat dalam perlakuan buli atau terpengaruh dengan individu yang melakukan perbuatan itu.
“Ceramah tadi memberi saya pengajaran agar tidak membuli dan tidak mudah terpengaruh dengan kes-kes buli serta tidak berkawan dengan orang yang membuli.
“Selain itu, program tersebut juga menyedarkan pelajar-pelajar yang lain berkenaan buli dan sekali gus mengurangkan kejadian buli di sekolah,” kongsinya.
Sebagai rekod, kira-kira 400 peserta menyertai program berkenaan yang turut menampilkan beberapa panel jemputan, antaranya Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, DCP Datuk Mohd Azhar Hamin; Pakar Psikiatri Kanak-Kanak dan Remaja Hospital Mesra Bukit Padang Sabah, Dr Ahmad Jalil Mohd Razali; serta Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Intan Solehah Ibrahim yang turut bertindak sebagai moderator.

