
KUALA LUMPUR – Tersentuh hati! Itu kata-kata Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila menerima sekeping gambar lama daripada seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultanah Asma, Alor Setar, Kedah, ketika menjalankan tugasan di Parlimen.
Pelajar berkenaan, Zahra Mohamad Zelman, hadir bersama rakan-rakan sekolahnya dan menyerahkan gambar yang merakamkan detik Perdana Menteri diraikan oleh Allahyarham moyangnya, Arshad Ahmad, selepas memenangi kerusi Parlimen Permatang Pauh buat kali pertama pada tahun 1982.
“Sekeping gambar, tetapi menyimpan begitu banyak kenangan dan kisah.
“Waktu yang cuba dihimbau itu sudah lama berlalu, namun ingatan terhadap insan-insan serta kalangan mereka yang pernah hadir dan menjadi sebahagian daripada perjalanan panjang perjuangan kekal di sanubari yang terdalam,” kongsinya di Facebook.
Perdana Menteri turut menitipkan pesanan kepada Zahra dan rakan-rakannya supaya terus menuntut ilmu, berani menyimpan cita-cita serta tidak pernah berhenti berusaha untuk mencapai kejayaan.
“Saya mendoakan agar perjalanan kalian sentiasa dipermudah dan masa depan terbentang dengan penuh harapan yang bergemerlapan,” katanya.


