KUALA LUMPUR, 11 Mac -- Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang berucap ketika Ceramah Umum Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu di Pusat Tarbiyah PAS Pusat Taman Melewar hari ini.??--fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA
KUALA LUMPUR – Kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mengaitkan Confidence and Supply Agreement (CSA) dengan pendekatan Dajal, harus dipersoalkan.
Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, hal ini susulan Pas sendiri pernah menyokong persefahaman politik yang mempunyai elemen sama ketika berada dalam kerajaan.
Ujarnya, Abdul Hadi seolah-olah terlupa bahawa pada 13 September 2021, ketika Pas menjadi sebahagian daripada kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, satu Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik telah dimeterai bersama Pakatan Harapan (PH).
“Apabila Pas berada di luar kerajaan, mekanisme politik yang serupa tiba-tiba dikaitkan dengan Dajal.
“Apakah ini suatu kaedah baharu dalam politik Pas? Halal bagi kami, haram bagi kamu?” katanya, menerusi Facebook malam tadi.
Kamil berkata, perbezaan pandangan mengenai CSA merupakan perkara biasa dalam politik dan pelaksanaan serta syaratnya boleh dipertikaikan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan istilah agama tidak seharusnya digunakan untuk menghukum sesuatu mekanisme politik yang pernah diterima ketika pihak yang sama berada dalam kerajaan.
“Yang berubah ialah kedudukan politik. Jangan sampai neraca halal dan haram pun turut berubah mengikut kedudukan kerusi,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa agama mengajar umatnya supaya berlaku adil dan berpegang teguh kepada prinsip, bukannya menggunakan dua ukuran berbeza berdasarkan siapa yang sedang memegang kuasa.



