
KUCHING – Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dijadual mengadakan sidang media khas pada jam 3.30 petang ini di Kompleks Satria Pertiwi, Petra Jaya.
Menurut makluman media yang dikeluarkan Pejabat Premier Sarawak, sidang media berkenaan akan berlangsung di Dewan Perdana, Aras 1, kompleks tersebut pada Jumaat.
Bagaimanapun, tujuan serta agenda sidang media khas itu tidak diperincikan dalam makluman berkenaan.
Perkembangan tersebut hadir ketika perhatian tertumpu kepada kemungkinan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13.
Terdahulu pada Khamis, Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah dilaporkan membayangkan kemungkinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) membuat pengumuman dalam masa terdekat.
Bagaimanapun, belum ada pengesahan rasmi bahawa sidang media khas Premier itu mempunyai kaitan dengan pembubaran DUN atau penetapan tarikh PRN Sarawak.
Sementara itu, wakil media yang menghadiri sidang media berkenaan diminta hadir seawal jam 2.30 petang bagi tujuan pendaftaran dan pemeriksaan keselamatan.
Butiran lanjut mengenai tujuan sidang media dijangka diketahui selepas pengumuman petang ini.






