
USAHA kerajaan memperluas perlindungan bil elektrik bagi meringankan beban rakyat tidak seharusnya dibayangi persoalan mengenai keuntungan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan kepentingan pemegang sahamnya, kata pemerhati politik, Ahmad Mursi.
Beliau mempersoalkan pendirian Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, yang sebelum ini membangkitkan isu keuntungan besar TNB ketika pengguna berdepan bil elektrik tinggi, tetapi kini mengetengahkan pula kesan langkah kerajaan memperluas perlindungan bil elektrik terhadap kepentingan pelabur.
Menurut Ahmad Mursi, perbincangan mengenai keuntungan TNB perlu mengambil kira kepentingan pengguna domestik yang memerlukan bantuan bagi mengurangkan beban kos sara hidup, selain kepentingan pelabur institusi seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP).
Beliau berkata, kerajaan memperluas had penggunaan elektrik yang layak menerima perlindungan bil daripada 600 kilowatt-jam (kWj) kepada 800 kWj sebulan, yang dijangka memberi manfaat kepada lebih lapan juta pengguna domestik.
Katanya, langkah itu penting bagi membantu rakyat mengurus perbelanjaan isi rumah, khususnya ketika cuaca panas dan jerebu berpotensi meningkatkan penggunaan elektrik.
Ahmad Mursi turut menyatakan bahawa TNB dilaporkan menyokong peluasan perlindungan berkenaan, sekali gus menjadikan kepentingan pengguna antara perkara yang perlu diberi perhatian dalam perbahasan mengenai dasar tenaga negara.
Menurutnya, isu keuntungan syarikat dan pulangan pelaburan pemegang saham perlu dilihat secara seimbang dengan keperluan rakyat mendapatkan bekalan elektrik pada kos yang mampu ditanggung.
Beliau berkata, perbahasan mengenai langkah kerajaan membantu pengguna seharusnya turut menilai kesan langsung dasar berkenaan terhadap isi rumah, tanpa mengetepikan kepentingan kewangan syarikat utiliti dan pelabur institusi.


