
KOTA KINABALU – Sabah dijangka menerima baki peruntukan tambahan RM900 juta daripada RM1.5 bilion yang dijanjikan Kerajaan Persekutuan pada 30 November ini, sebelum persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Disember depan, selaras komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, beliau dimaklumkan bahawa Perdana Menteri sendiri telah menghubungi Ketua Menteri bagi menyampaikan jaminan berhubung penyaluran peruntukan tambahan itu.
“Perdana Menteri sendiri telah menghubungi Ketua Menteri untuk menyampaikan pesanan bahawa beliau akan memastikan peruntukan tambahan RM900 juta itu diterima sebelum Dewan bersidang.
“Perkembangan terbaharu yang dimaklumkan kepada saya oleh pegawai juga menunjukkan kemungkinan peruntukan itu akan dibayar pada 30 November ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Penyerahan Bantuan Kewangan Kerajaan Sabah kepada Sekolah-Sekolah dan Badan-Badan Keagamaan Bukan Islam Negeri Sabah Tahun 2026, di Sutera Harbour Resort, di sini, pada Selasa.
Menurutnya, kerajaan negeri mahu setiap keputusan yang boleh diselesaikan dengan segera dibuat tanpa kelewatan, khususnya perkara yang melibatkan kepentingan pembangunan dan kesejahteraan rakyat.
“Perkara yang mudah untuk dibuat keputusan, kita buat keputusan dengan cepat,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Masidi berkata, beliau bersama pegawai kerajaan negeri kini bekerja lebih masa bagi meneliti setiap perincian yang perlu dimasukkan dalam Belanjawan Sabah bagi memastikan penyediaannya benar-benar mencerminkan kedudukan kewangan negeri.
Katanya, belanjawan bukan sekadar dokumen yang memperincikan jumlah hasil dan perbelanjaan kerajaan, sebaliknya turut menggambarkan keutamaan pentadbiran dalam mengurus serta mengagihkan sumber kewangan negeri.
“Persediaan ini perlu dibuat dengan teliti supaya kita dapat membentangkan belanjawan yang benar-benar mencerminkan kedudukan kewangan kita.
“Lebih daripada itu, ia juga merupakan cerminan keutamaan kita dalam membuat perbelanjaan,” kongsinya.
Tambahnya, meskipun peruntukan besar diperlukan bagi menangani pelbagai masalah infrastruktur asas, setiap perbelanjaan perlu dilaksanakan secara berhemah supaya penggunaan dana kerajaan memberikan manfaat yang optimum.
Mengulas kedudukan hasil negeri, beliau berkata, kira-kira 50 peratus keuntungan Sabah bergantung kepada dua komoditi utama, iaitu minyak mentah (crude oil) dan minyak sawit (palm oil), sekali gus menjadikan prestasi kewangan negeri dipengaruhi turun naik harga kedua-dua komoditi berkenaan.
“Lebih kurang 50 peratus daripada keuntungan kita datang daripada dua minyak, iaitu minyak mentah dan minyak sawit. Inilah yang menentukan turun naik keuntungan kita.
“Walaupun harga minyak antarabangsa tinggi, ia tidak semestinya diterjemahkan kepada hasil yang lebih besar kerana nilai ringgit kita juga berada pada tahap yang tinggi,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, urus niaga minyak mentah menggunakan dolar Amerika Syarikat (AS), manakala hasil yang diterima perlu ditukarkan kepada ringgit Malaysia.
“Kita menjual minyak dalam dolar AS, tetapi apabila bayaran diterima, ia ditukarkan kepada ringgit. Jadi, kadar pertukaran mata wang menjadi salah satu faktor yang mempengaruhi nilai pendapatan kita.
“Apabila nilai ringgit mengukuh, ia tidak semestinya menyebabkan pertambahan pendapatan walaupun harga minyak di pasaran antarabangsa meningkat,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau berkata, faktor kadar pertukaran mata wang perlu turut diambil kira dalam menilai prestasi hasil negeri kerana kenaikan harga komoditi semata-mata tidak menjamin peningkatan pendapatan kerajaan.



