Kerajaan negeri disaran sediakan rumah sementara untuk pesakit kanser, penjaga

KOTA KINABALU – Kerajaan negeri disaran menyediakan Rumah Singgah Sementara khusus untuk kanak-kanak pesakit kanser dan penjaga mereka bagi meringankan beban keluarga sepanjang tempoh rawatan.

Pengerusi Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Cawangan Sabah, Dr Brandon Patrick Senagang berkata, kemudahan itu amat diperlukan, khususnya bagi keluarga dari kawasan pedalaman yang terpaksa tinggal di Kota Kinabalu untuk mendapatkan rawatan pakar.

“Unit Onkologi Pediatrik Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah menerima kira-kira 80 hingga 100 kes baharu kanser kanak-kanak setiap tahun.

“Hampir separuh daripada pesakit berkenaan berasal dari luar daerah Kota Kinabalu termasuk Pitas, Kota Marudu dan Kudat.

“Sebahagian besar pesakit didiagnosis menghidap leukemia akut yang memerlukan rawatan intensif dan berpanjangan, malah sesetengahnya perlu menjalani rawatan di Kota Kinabalu sehingga lapan bulan,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, pada Selasa.

Menurutnya , keluarga yang tinggal jauh berdepan pelbagai cabaran termasuk mencari penginapan, menanggung kos pengangkutan dan perbelanjaan harian sepanjang tempoh rawatan.

“Keadaan ini turut menyebabkan ibu bapa atau penjaga terpaksa meninggalkan pekerjaan serta ahli keluarga lain untuk memastikan anak mereka mendapat rawatan sewajarnya.

“Beban berkenaan lebih dirasai keluarga berpendapatan rendah dan penduduk pedalaman yang mempunyai sumber kewangan serta kemudahan pengangkutan terhad,” ujarnya.

Tambah Dr Brandon, walaupun Rumah Ronald McDonald di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah membantu menyediakan penginapan, kapasiti kemudahan itu masih belum mencukupi untuk menampung semua keluarga pesakit yang memerlukan tempat tinggal.

“Ini kerana kemudahan berkenaan turut digunakan oleh keluarga pesakit daripada perkhidmatan lain, termasuk pesakit kanser dewasa dan jabatan perubatan lain.

“Sehubungan itu, saya menekankan keperluan menyediakan rumah singgah khas yang selamat, bersih dan mampu milik berhampiran hospital bagi menempatkan kanak-kanak pesakit kanser bersama penjaga mereka.

“Kemudahan ini dapat mengurangkan perjalanan berulang-alik, meringankan tekanan kewangan keluarga dan membantu memastikan rawatan anak mereka dapat diteruskan tanpa masalah penginapan,” ujarnya.

Dalam pada itu katanya, Kerajaan Negeri boleh menerajui usaha berkenaan melalui penyediaan atau penukaran fungsi premis kerajaan sedia ada berhampiran hospital.

“Kerjasama dengan pertubuhan kebajikan, sektor swasta dan rakan strategik lain juga boleh diteroka bagi merealisasikan kemudahan berkenaan.

“Usaha memerangi kanser kanak-kanak bukan hanya tertumpu kepada rawatan perubatan, tetapi turut merangkumi sokongan penginapan bagi memastikan pesakit berpeluang melengkapkan rawatan tanpa mengira jarak tempat tinggal keluarga mereka,” jelasnya.

MMA Sabah turut menyerahkan 20 kit penjagaan kepada pesakit onkologi pediatrik yang baru didiagnosis di Unit Onkologi Pediatrik Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah sempena Bulan Kesedaran Kanser Pediatrik.

Dr Brandon berharap sumbangan itu dapat memberikan keselesaan dan sokongan kepada pesakit serta keluarga mereka ketika memulakan perjalanan rawatan yang panjang dan mencabar.

  • Related Posts

    Penduduk Daro kini nikmati bekalan elektrik 24 jam – Dr Safiee

    KUCHING – Impian penduduk di seluruh kawasan N.43 Daro untuk menikmati bekalan elektrik 24 jam secara stabil kini menjadi kenyataan, sekali gus menjimatkan perbelanjaan bulanan mereka hingga sepuluh kali ganda.…

    Lebih lanjut

    teruskan membaca
    Mangsa renjatan elektrik melecur 80 peratus

    ALOR SETAR – Seorang daripada tiga remaja lelaki yang terkena renjatan elektrik ketika menyertai perarakan keagamaan di Mergong, di sini malam tadi dilaporkan masih tidak sedarkan diri selepas melecur 80…

    Lebih lanjut

    teruskan membaca

    Perlu dibaca

    50 projek jalan ladang Sarawak diluluskan, peruntukan RM15.72 juta

    50 projek jalan ladang Sarawak diluluskan, peruntukan RM15.72 juta

    Penduduk Daro kini nikmati bekalan elektrik 24 jam – Dr Safiee

    Penduduk Daro kini nikmati bekalan elektrik 24 jam – Dr Safiee

    Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 bukti kerajaan komited laksana reformasi – PM

    Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 bukti kerajaan komited laksana reformasi – PM

    Mangsa renjatan elektrik melecur 80 peratus

    Mangsa renjatan elektrik melecur 80 peratus

    Lelaki positif dadah ditahan dalam Op Tapis Khas di Saratok

    Lelaki positif dadah ditahan dalam Op Tapis Khas di Saratok

    Peniaga buah maut, gerai dirempuh lori balak

    • By Fandi
    • October 14, 2026
    Peniaga buah maut, gerai dirempuh lori balak