
SHAH ALAM – Barisan Nasional (BN) sangat terbuka untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata, BN sudah mengadakan perbincangan dengan PH dan Pas berhubung kerjasama bagi menghadapi PRN berkenaan.
“Ya, kami sangat terbuka,” katanya ringkas ketika ditanya pemberita sama ada ruang perbincangan dengan PH masih terbuka menjelang PRN Melaka.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Seminar Ilmuwan Islam di Universiti Teknologi MARA (UiTM), di sini, hari ini.
Ahmad Zahid berkata, tahap kemajuan perbincangan berhubung kerjasama itu boleh dianggap sudah mencapai 9.5 pada skala satu hingga 10.
Bagaimanapun, katanya, sebarang keputusan mengenai rakan gabungan bagi menghadapi PRN Melaka akan diputuskan selepas mesyuarat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 7 Oktober ini.
“Dengan kedua-duanya kami telah mengadakan perbincangan sebenarnya.
“Selepas itu akan ada pengumuman untuk memuktamadkan dengan gabungan mana yang harus kita bekerjasama atau mengadakan jalinan kesefahaman untuk kita bergerak dalam PRN Melaka,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, penggunaan logo sekiranya Pas bertanding pada PRN Melaka belum dibincangkan secara rasmi.
Bagaimanapun, beliau percaya Pas lebih selesa menggunakan logo sendiri seperti dalam pilihan raya negeri sebelum ini.
“Kami tidak ada masalah kalau mereka mahu menggunakan logo yang mereka akan kemukakan, itu soal parti mereka,” katanya.
Menurut Ahmad Zahid, BN dan parti komponennya pula akan kekal menggunakan logo gabungan itu.
Beliau berkata, di peringkat akar umbi khususnya pusat daerah mengundi, jentera akan digerakkan bersama meskipun BN belum memutuskan rakan kerjasama bagi PRN berkenaan.
Katanya, gerakan itu dirancang bagi memastikan “gelombang biru” di Melaka dapat diterjemahkan sebelum diperluaskan ke seluruh negara apabila tiba waktunya.






