
KUALA LUMPUR – Kerajaan akan mengambil tindakan secara teratur, bertanggungjawab dan berlandaskan undang-Undang berhubung isu pengurusan pelarian, kata Memteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan delegasi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) yang diketuai Pengerusinya, Datuk Seri Mohd Hishamudin Mohd Yunus, hari ini.
Menurut Fahmi, pertemuan tersebut bagi menukar pandangan dan mendapatkan maklum balas berhubung pengurusan pelarian.
“Antara perkara dibincangkan termasuk penghantaran pulang pelarian Myanmar ke negara asal, termasuk tatacara pelaksanaan dan aspek keselamatan.
“Selain itu, perkara-perkara kemanusiaan yang SUHAKAM pohon diberi perhatian,” katanya menerusi Facebooknya, hari ini.
Fahmi berkata, pertemuan berkenaan penting bagi membolehkan Kerajaan mendengar pandangan semua pihak, khususnya dari sudut kemanusiaan dalam menangani isu pelarian.
“Apa jua tindakan yang diambil akan dilaksanakan secara teratur, bertanggungjawab, dan berlandaskan undang-undang,” ujarnya.






