
SARATOK – Sebanyak 22 keping saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas dalam satu operasi bersepadu cegah jenayah yang dijalankan dekat sini pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, puhaknya menjalankan operasi tersebut di Lebuhraya Pan Borneo bagi mencegah kegiatan jenayah serta mengurangkan kesalahan lalu lintas di kawasan pentadbirannya.
Katanya, operasi yang bermula 3 petang itu melibatkan kekuatan keseluruhan 13 pegawai dan anggota, terdiri daripada seorang pegawai serta 12 anggota.

“Dalam operasi berkenaan, polis menjalankan pemeriksaan terhadap 110 individu selain memeriksa 90 kenderaan. Operasi berkenaan turut menyaksikan sebanyak 22 saman dikeluarkan bagi pelbagai kesalahan menerusi Saman PDRM (K) 257,” katanya dalam kenyataan.
Jelasnya lagi, operasi berkenaan antara lain bertujuan mengurangkan kes jenayah indeks khususnya di kawasan panas, meningkatkan kehadiran polis di lokasi berkenaan serta mengesan individu yang dikehendaki berkaitan kes jenayah, narkotik dan komersial.
“Selain itu, pemeriksaan terhadap individu dan kenderaan yang mencurigakan turut dijalankan, di samping usaha mengurangkan kesalahan lalu lintas terutama membabitkan penunggang motosikal,” ujarnya lagi.






